Isnin, 30 Mei 2016

DAPSY desak letak AMANAH di Sungai Besar dan Kuala Kangsar

 
AMANAH sepatutnya jadi parti yang menewaskan PAS dan BN di dua Parlimen itu, kata Ketua DAPSY Wong Kah Woh.


dapsy-amanah


PETALING JAYA: DAPSY mendesak supaya AMANAH dipilih menjadi wakil Pakatan Harapan sebagai calon PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini, menentang PAS.

“Memandangkan PAS menolak semua kemungkinan mengelak pertandingan tiga penjuru antar BN, PAS dan PH, dan nampaknya akan mengalah kepada UMNO untuk menang, Pakatan Harapan perlu meletakkan calon terbaik untuk menewaskan calon BN,” kata Ketua DAPSY Wong Kah Woh.

ADUN Canning itu berkata ini akan jadi PRK pertama di Semenanjung Malaysia yang ditandingi Pakatan Harapan selepas penubuhannya tahun ini.

“AMANAH membuktikan semangat dan reputasi mereka dalam memperjuangkan isu rakyat,
menyelamatkan Malaysia daripada bankrap,” kata Kah Woh merujuk kepada kontroversi 1MDB dan ‘derma politik’ RM2.6 bilion.

“Sebagai rakan dalam Pakatan Harapan, amat penting kita memastikan AMANAH berkembang dan menjadi parti yang mampu mencabar UMNO dan BN pada PRU14,” katanya.

Kah Woh berkata calon PAS di Kuala Kangsar pada 1999, 2004 dan 2008 ialah Asmuni Awi, Mohd Nizar Jamaluddin dan Khairuddin Abdul Malim, yang semuanya sudah meninggalkan PAS untuk bersama AMANAH dan Pakatan Harapan.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menunjukkan Pakatan Harapan mampu menggantikan BN pada PRU14,” katanya.

DAPSY akan bekerjasama dengan Pemuda AMANAH dan PKR pada kedua-dua PRK itu.

Jentera parti DAPSY dari Penang, Kedah, Perak, Pahang dan Sabah akan membantu kempen di Kuala Kangsar, sementara jentera dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak akan berkempen di Sungai Besar.

Tiada ulasan: