Khamis, 19 Mei 2016

DAP dan PKR pun enggan mengalah, kenapa PAS perlu beri laluan? - Tuan Ibrahim

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan mengapa parti itu perlu berkompromi dengan menyerahkan kerusi Parlimen Sungai Besar kepada Pakatan Harapan (PH) sedangkan DAP sendiri enggan beralah dengan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11.
 
Tuan Ibrahim juga berkata PH boleh berputus asa jika mahu memujuk PAS memberi laluan kepada parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu.
 
“PAS setuju satu lawan satu. PH (pakatan pembangkang) tidak perlu masuk bertanding. Hendak serah kerusi PAS kepada PAN tidak mungkin. 
 
"Kalau DAP Sarawak pun tidak boleh kompromi dengan PKR semasa PRN lalu, tidak mungkin PAS hendak bagi kerusi Pas,” katanya dalam catatan di laman Facebook miliknya, malam tadi.
 
Tuan Ibrahim menegaskan, pakatan pembangkang perlu sedar bahawa kedua-dua kerusi Parlimen itu merupakan kawasan PAS.
 
“Saya harap blok pembangkang sedar kerusi yang dipunyai oleh Pas mereka tidak perlu ganggu,” katanya.
 
Pendirian Tuan Ibrahim itu senada dengan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS tetap akan bertanding di dua kerusi tradisinya, Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun depan.
 
Portal mStar Online hari ini melaporkan sumbernya sebagai berkata, exco PAS di Selangor diberi kata dua untuk meletakkan jawatannya jika parti itu masih mahu bertanding di kerusi Sungai Besar.
 
Kata dua itu diberikan Menteri Besarnya, yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali,
 
Antarapos kemudiannya menghubungi seorang daripada exco PAS, Zaidy Abdul Talib. Beliau nyata terkejut dan menafikan laporan sumber itu.
 
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
 
Antarapos juga menghubungi Exco PKR, Dr Daroyah Alwi untuk mendapatkan pengesahan berkenaan laporan sumber itu.
 
Beliau turut menafikan laporan portal itu dan enggan mengulas lanjut.  
 
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) PAS kalah majoriti tipis kepada calon Umno Barisan Nasional (BN) di kerusi Sungai Besar.
 
PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar terpaksa diadakan selepas penyandangnya 
 
Kerusi Parlimen Kuala Kangsar (P067) dan Sungai Besar (P093) kosong selepas penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon terlibat dalam nahas helikopter pada 5 Mei di Sebuyau, Sarawak.
 
Kedua-dua mereka sedang dalam perjalanan dari Betong ke Kuching bagi membantu kempen PRN Sarawak, 7 Mei lalu.
 
 

Tiada ulasan: