Ahad, 8 Mei 2016

DAP akur keputusan pilihanraya Sarawak, minta Adenan tunai semua janji

lge_akurPRNsarawak

Roketkini.com

 
KUALA LUMPUR- DAP hari ini menerima keputusan pilihanraya Sarawak serta mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, atas kemenangan besar Barisan Nasional.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata beliau berharap Adenan dapat menunaikan semua janjinya kepada rakyat Sarawak untuk memakmurkan hidup mereka, bersikap adil untuk semua tanpa mengira kaum dan agama, mengembalikan hak ekonomi dan autonomi Sarawak.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut mengakui bahawa kekalahan DAP di lima kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya lalu adalah kerana populariti Adenan, walaupun dalam keadaan tidak menyenangkan di mana pemimpin pembangkang Semenanjung dihalang masuk ke Sarawak manakala politik wang diamalkan secara melampau.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak patut bersyukur kerana populariti Adenan menyebabkan ramai pengundi Sarawak tidak kisah tentang salahguna kuasa BN, skandal derma RM4.2 bilion atau skandal 1MDB RM50 bilion, malah tidak mempedulikan tentang penderitaan akibat kenaikan harga berikutan pelaksanaan cukai GST.

“Jadi, DAP menolak dakwaan Najib kononnya kemenangan besar BN di Sarawak adalah restu rakyat kepada GST kerana tidak ada seorang pun pengundi Sarawak, termasuk pengundi BN, yang menyatakan sokongan kepada GST,’ katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengenai prestasi DAP, Guan Eng berkata, satu kajian post-mortem akan diadakan sementara menanti laporan penuh daripada Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, tentang kekalahan yang dialami, termasuk kegagalan menembusi kawasan kaum Dayak di pedalaman.

Walaupun begitu, katanya, ada petanda baik di beberapa kerusi kaum Dayak di mana calon-calon DAP mendapat undi yang memberangsangkan.

“Politik adalah perjuangan jangka panjang, para pemimpin kita harus terus melaksanakan tugas di kawasan-kawasan ini di bawah program-program Impian Sarawak, di samping berusaha mendapatkan semula kerusi-kerusi yang hilang (di kawasan bandar),” ujar beliau.

Menurut Guan Eng, DAP juga akan terus bekerjasama dengan PKR dan Amanah di dalam Pakatan Harapan, khususnya bagi mengukuhkan mekanisme dalaman bagi memastikan semua perjanjian dihormati dan dijunjung.

Tambah beliau, Pakatan Harapan perlu bekerja keras untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kemampuan ketiga-tiga parti untuk bekerjasama melawan BN.

Katanya, cabaran besar Pakatan Harapan ialah jika Najib berani menerima pakai model Adenan, iaitu keberanian Ketua Menteri Sarawak itu menolak ekstremisme dan dasar-dasar perkauman.

“Jika Najib berani berbuat demikian, maka Pakatan Harapan akan menghadapi cabaran paling besar dalam pilihanraya umum akan datang,” ujar beliau. – Roketkini.com


Tiada ulasan: