Rabu, 11 Mei 2016

Bon 1MDB jatuh ke paras terendah akibat pertikaian

MALAYSIAKINI





Bon 1MDB jatuh ke paras terendah dalam tempoh dua minggu lalu berikutan keputusan firma pelaburan negara itu untuk mungkir pembayaran faedah kerana pertikaian dengan International Petroleum Investment Corporation (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi.

1MDB hari ini mesti membayar AS$52.4 juta faedah ke atas bon AS$1.75 bilion pada kadar 5.99 peratus yang matang pada 2022, tetapi dijangka mungkir lagi.

"Nota 5.99 peratus jatuh kepada 1.79 sen bulan ini kepada 100.54 sen, yang paling rendah sejak 22 April, mengikut harga yang disediakan oleh Bloomberg," lapor portal kewangan itu.

Bon itu dijamin bersama oleh IPIC.

"Mengapa bayar kupon seterusnya jika yang terakhir mungkir" soal Zafar Nazim, seorang penganalisis kredit di JPMorgan Chase & Co yang berpangkalan di London memberitahu Bloomberg.

"Tiada apa yang berubah. Tetapi kita tidak tahu mengenai perbincangan tertutup antara IPIC dan 1MDB, jadi kita tidak boleh menolak kemungkinan resolusi sementara dengan mengambil kira pembayaran kupon," katanya.

1MDB bulan lalu gagal membayar AS$50 juta bagi kupon bon berasingan yang juga dijamin oleh IPIC.
IPIC enggan membuat bayaran, dengan mendakwa bahawa 1MDB tidak membayar fi yang dipersetujui bagi menjamin bon berkenaan.

Menurut 1MDB, bayaran telah dibuat kepada anak syarikat IPIC yang berdaftar di British Virgin Island, tetapi IPIC menafikan ia mempunyai kaitan dengan firma BVI itu.

Semalam, Agensi Penarafan Fitch berkata kemungkiran 1MDB boleh memberi kesan kepada negara kerana ia boleh membawa fokus yang lemah berhubung dasar dan ketidakstabilan politik.

Fitch berkata, risiko untuk Malaysia adalah rendah walaupun pada hakikatnya kemungkiran bon berkenaan pada 2022 boleh mencetuskan keingkaran silang ke atas 1MDB yang sukuk AS$5 juta terbitannya yang dijamin oleh kerajaan akan matang pada 2039.

"Menurut jaminan itu, bayaran hanya diperlukan sekiranya pemegang bon mengundi untuk mempercepatkannya mengikut klausa keingkaran silang.

"Kami percaya bahawa tidak terdapat kemungkinan majoriti di kalangan pemegang bon akan menuntut bayaran mereka dipercepatkan," katanya.

Tiada ulasan: