Selasa, 24 Mei 2016

BAGAIMANA AGAKNYA NAJIB AKAN DIKENANG 20 TAHUN AKAN DATANG?

shahbudindotcom

 

Pepatah ada mengingatkan - harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Pepatah lain pula mengingatkan - yang penting bukan bagaimana kita bermula, tetapi di mana pengakhiran kita.

Kedua-dua pepatah ini adalah ingatan untuk kita agar sentiasa menjaga nama baik dalam kehidupan. Bila baik perbuatan kita, maka yang ditinggalkan pun tentulah nama yang baik juga.

Sebaliknya jika buruk perbuatan atau perlakuan kita, maka buruklah juga nama yang ditinggalkan.

Lebih-lebih lagi sebagai pemimpin, meninggalkan nama serta jasa yang boleh dikenang dan pengakhiran yang baik itu memang jauh lebih penting berbanding orang biasa sebagai kebanggaan kepada waris-waris yang ditinggalkan.

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dikenang sebagai Bapa Kemerdekaan serta pemimpin yang banyak mengajak rakyat pelbagai kaum untuk saling bertolerasi sebagai asas penting mengisi pembebasaan negara dari penjajahan.

Tun Razak diingati sebagai Bapa Pembangunan berikutan beberapa dasar yang diperkenalkannya untuk membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang antara kaya dengan miskin.

Tun Hussein Onn dikenali sebagai Bapa Perpaduan berikutan tindakannya yang lebih ke arah memupuk keharmonian dan hubungan baik sesama rakyat.

Tun Mahathir Mohamad disanjung sebagai Bapa Pemodenan yang bukan saja merubah negara dengan mencipta pelbagai kejayaan dan kecemerlangan, bahkan juga menjulang nama Malaysia lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

Tun Abdullah Badawi lebih sinonim dengan memperkenalkan Islam Hadhari, memperluaskan industri makanan halal dan menggalakkan peningkatan modal insan.

Walaupun pencapaiannya agak sederhana serta terpalit dengan pelbagai isu, tindakan Tun Abdullah meletakkan jawatan lebih awal telah menyelamatkan namanya daripada lebih tercemar lagi.

Najib Razak?

Bagaimana agaknya rakyat dan negara ini akan mengenang beliau dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang berikutan imej yang melekat pada dirinya sekarang ini?

Bolehkah kita membayangkan bagaimana namanya disebut dan keluarganya dikenang ketika itu nanti?


Tiada ulasan: