Isnin, 16 Mei 2016

Adakah Adenan akan menjadi seorang lagi Pak Lah?

lks_rencana_adenanseoranglagipaklah

Oleh Lim Kit Siang


Sorak-sorai kegembiraan menyambut kemenangan Adenan Satem di Sarawak sedikit sebanyak mengingatkan ‘tsunami’ Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah dalam pilihanraya umum tahun 2004 lalu.

Dalam PRU 2004, Pak Lah telah berjaya memimpin kejayaan Barisan Nasional (BN) dengan menang 91 peratus kerusi Parlimen (199 dari 219 kerusi) melalui 61 peratus undi popular.

Beliau masuk gelanggang pilihanraya dengan berjanji untuk membanteras kemelut rasuah yang melanda negara. Beliau juga berjanji menggunakan pendekatan bekerjasama dengan meminta rakyat ‘bekerja bersamanya, bukan bekerja untuknya’.

Beliau juga dibantu oleh proses persempadanan semula yang menambah 26 kerusi Parlimen pada 2003.

Pembangkang pula ketika itu tidak menunjukkan permuafakatan yang padu atau pakatan yang bersatu walaupun berjaya mengelakkan pertembungan tiga penjuru di kebanyakan kerusi yang ditandingi.

Namun, empat tahun kemudian, dalam PRU 2008, Pak Lah mengalami kekalahan besar memalukan.

Beliau menjadi Perdana Menteri pertama yang memimpin kerajaan BN yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga Parlimen. Bilangan Ahli Parlimen pembangkang pula berganda daripada 20 anggota (9 peratus) kepada 80 anggota (36 peatus) pada 2008. Undi popular BN pula merudum daripada 61 peratus kepada 55 peratus.

Pak Lah gagal untuk membersihkan gejala rasuah, malah banyak orang menganggap kronisme semakin meningkat di bawah pentadbirannya dari 2004 hingga 2008.

Hampir semua janji yang dibuatnya sebelum PRU 2004 gagal dipenuhi termasuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Hubungan antara kaum dan agama juga gagal diuruskan dengan baik termasuk ketempangan pengurusan terhadap tuntutan kumpulan HINDRAF.

Persoalannya, adakah Adenan juga akan senasib dengan Pak Lah?

Hanya masa menentukan. Namun, tanda-tanda awalnya tidak positif. Adun Padungan Wong King Wei, telah mendedahkan tentang kes penjualan tanah kepada pihak yang mempunyai pertalian politik menjelang pilihanraya negeri baru-baru ini, sama seperti modus operandi kerajaan negeri dahulu di bawah pentadbiran Ketua Menteri Taib Mahmud.

Walaupun pendedahan ini tidak banyak memberi kesan kepada percaturan politik, namun, jika amalan itu diteruskan di bawah pentadbiran Adenan, beliau hanya akan membuktikan kerajaan pimpinannya tiada beza dengan pendahulunya.

Pada masa yang sama, Adenan menunjukkan beliau mampu menjadi lebih zalim dari pendahulunya ababila bertindak mengharamkan kemasukan sejumlah besar Ahli Parlimen dan Adun pembangkang ke Sarawak dalam tempoh kempen pilihanraya termasuk menghalang kemasukan Speaker Dewan Negeri Selangor.

Adenan juga telah melakukan sesuatu yang belum pernah dibuat dengan mengenakan sekatan imigresen terhadap Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, yang diminta untuk meninggalkan Sarawak pada 2 Mei 2016 (dan tidak dibenarkan untuk masuk semula sewaktu datang semula pada 6 Mei 2016), dan juga terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang diminta meninggalkan Sarawak pada 5 Mei 2016.

Tidak ada pula Ahli Parlimen atau ADUN dari BN yang dilarang memasuki Sarawak atau dikenakan sebarang sekatan imigresen. Adakah ini merupakan petunjuk jelas sejauh mana Adenan sanggup bertindak untuk mengelakkan persaingan politik yang sah daripada terlaksana di negerinya?

Adenan perlu ingat bahawa lanskap politik Sarawak telah berubah secara signifikan sejak 2001 apabila BN memenangi 60 dari 62 kerusi negeri (97 peratus) dengan 70.2 peratus undi popular.

Dengan kekalahan pembangkang dalam pilihanraya baru-baru ini, kita kembali kepada situasi 2006 di mana BN menang 63 daripada 71 kerusi negeri (89 peratus) melalui 62.1 peratus undi. (Malah, prestasi Adenan lebih rendah berbanding keputusan yang diperolehi Taib pada 2006). (Sila rujuk jadual di bawah)


2001 2006 2011 2016
Jumlah dan % kerusi negeri BN 60 / 62 (97%) 63 / 71 (89%) 55 / 71 (78%) 72 / 82 (88%)
Peratusan undi popular BN 70.2% 62.1% 54.7% 61.7%

Jadual: Kerusi BN berbanding jumlah kerusi dipertandingkan, peratusan jumlah kerusinya, dan peratusan undi popularnya pada pilihanraya Sarawak 2001, 2006, 2011 dan 2016.

Pengundi di Sarawak jelas tidak mahu kembali ke zaman silam di mana suara pembangkang hampir tiada dalam DUN.

Jika Adenan gagal untuk menunjukkan prestasi yang baik untuk tempoh lima tahun akan datang, mungkinkah akan muncul gelombang politik yang mungkin turut merebak ke pedalaman Sarawak?

Rakyat Sarawak kini sedang memerhatikan Adenan untuk melihat sama ada beliau mampu melahirkan satu legasi politik positif atau sekadar menjadi seorang lagi Pak Lah. – Roketkini.com


Tiada ulasan: