Isnin, 9 Mei 2016

30 peratus calon di Sarawak hilang wang deposit

MALAYSIAKINI





Hampir satu pertiga daripada jumlah calon yang bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11, hilang wang pertaruhan.

Berdasarkan maklumat yang dikumpul daripada laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 69 calon, kebanyakannya bebas, hilang wang pertaruhan RM5,000 daripada jumlah keseluruhan 229 calon.

Ini bermakna 30 peratus daripada calon berkenaan kehilangan sejumlah RM345,000.

Seramai 69 calon gagal mendapat sekurang-kurangnya satu per lapan daripada jumlah undi yang diperlukan untuk menyelamatkan deposit mereka.

Daripada 36 calon bebas dalam pilihan raya Sarawak, 20 hilang wang pertaruhan. Pada pilihan raya itu, 10 daripada 40 calon PKR dan tujuh daripada 31 calon DAP juga kehilangan deposit mereka.

Sementara itu sembilan daripada 13 calon Parti Amanah Negara Malaysia (AMANAH) hilang wang pertaruhan dan tujuh daripada 11 calon PAS hilang wang deposit mereka.

Tetapi prestasi Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) lebih buruk.

Kesemua 11 calon STAR hilang wang pertaruhan manakala lima calon PBDS Baru daripada lima yang bertanding dalam pilihan raya negeri itu mengalami nasib yang sama.

BN yang memperolehi 72 daripada 82 kerusi yang ditandinginya menyaksikan semua calonnya berjaya menyelamatkan deposit mereka termasuk empat calonnya yang berdepan pertandingan pelbagai penjuru.

Calon BN di Muara Tuang, Idris Buang memperoleh sejumlah 9,503 undi dan menyaksikan pesaing beliau dari PAS 'Zulkipli Ramzi dan calon AMANAH, Abang Abdul Halil Abang Naili, kehilangan deposit mereka.

Penyandang kerusi Sadong Jaya Aidel Lariwoo mengekalkan kerusi dan mengalahkan calon PAS Asan Singkro, calon AMANAH Othman Mustapha @ Mos dan calon bebas, Awang Rabiee Awang Hosen, manakala penyandang Kuala Rajang Talif @ Len Salleh memperoleh sejumlah 6,235 undi menewaskan calon AMANAH Sopian Julaihi dan calon bebas Asbor Abdullah.

Kedua-dua penyandang kerusi itu berjaya 'mengambil' kesemua deposit pesaing mereka.

Keadaan sama bagi calon BN di Pelagus, Wilson Nyabong Ijang yang menewaskan calon DAP, Frankie Bendindang Manjah dan calon Bebas Yong Sibat dengan sejumlah 3,778 undi. BN menguasai 72 kerusi DUN yang dipertandingkan iaitu 87.8 peratus daripada Dewan Undangan Negeri.


Tiada ulasan: