Rabu, 11 Mei 2016

1MDB: Bayaran mungkir kerana pertikaian dengan IPIC

MALAYSIAKINI




1MDB hari ini berkata ia memiliki dana yang lebih daripada mencukupi untuk membuat bayaran faedah AS$52.4 juta kepada pemegang nota bon AS$1.75 bilion yang diterbitkan anak syarikatnya, 1MDB Energy (Langat) Ltd..

Bagaimanapun menurut, firma pelaburan negara itu, ia kemungkiran pembayaran hari ini berikutan pertikaiannya ketika ini dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi .

1MDB juga menyatakan bahawa ia difahamkan bahawa pihak IPIC sudah membuat bayaran berkenaan.

"Walaupun 1MDB memiliki dana yang lebih daripada mencukupi untuk membuat bayaran faedah itu, ia setakat ini belum melakukannya untuk Nota Tenaga itu dan bagi bayaran faedah awal untuk nota AS$1.75 bilion berkadar tetap 5.75 peratus yang matang pada 2022 dan diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (Nota Langat)," katanya.

"Semua hak 1MDB adalah terpelihara berikutan pertikaian itu," kata firma pelaburan negara itu dalam satu kenyataan media.

Syarikat pelaburan strategik itu turut menegaskan bahawa ia komited untuk bekerjasama secara terbuka dengan IPIC bagi menamatkan pertikaian mereka.

IPIC hari ini juga mengisytiharkan bahawa ia bercadang menghantar bil berhubung jumlah yang dibayarnya untuk faedah berkenaan bersama-sama dengan bayaran AS$50.3 juta bagi Nota Langat kepada 1MDB dan Kementerian Kewangan Malaysia, ditambah dengan faedah serta tuntutan lain yang berjumlah sebanyak AS$1.2 bilion.

Ini adalah menurut kenyataan IPIC yang dihantar ke Bursa Saham London berhubung perkara tersebut.


Dalam kenyataan sama, 1MDB juga berkata bahawa ia baru-baru ini sudah memulakan proses rundingan dengan para pemegang bonnya yang menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat untuk menjelaskan kepada mereka sifat pertikaiannya dengan IPIC.

"Malah, pertemuan bagi semua pemegang bon dalam denominasi dolar Amerika Syarikat itu akan diadakan pada 23 Mei ini," kata kenyataan itu.

Seperti yang dijelaskan dalam beberapa kenyataan sebelum ini, 1MDB berharap ia boleh menerangkan kepada pemegang bonnya bahawa kemungkiran baru-baru ini bukan kerana kekurangan dana tetapi kerana pertikaian undang-undang.

Tindakan itu agar para pemegang bon tidak akan mengaktifkan klausa syarat bon yang akan membolehkan mereka menuntut pembayaran dipercepatkan yang boleh menimbulkan masalah kepada 1MDB.

Tiada ulasan: