Jumaat, 4 Mac 2016

Keputusan SKMM sekat The Malaysian Insider kerana langgar undang-undang negara - Wisma Putra

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman The Malaysian Insider (TMI) bulan lepas kerana melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia, dibuat dengan teliti.
 
Menurut kenyataan Kementerian Luar, tindakan itu diambil selepas pertimbangan mengenai kesan terhadap sekatan laman web berkenaan ke atas kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar di negara ini.
 
"Malaysia berpegang kepada kebebasan bersuara dan hak memperoleh maklumat, namun hak dan kebebasan itu hendaklah diamalkan secara berhemah dan bertanggungjawab," tambah kenyataan itu.
 
Ia merujuk kepada kenyataan Jabatan Negara, Amerika Syarikat yang bimbang dengan tindakan kerajaan Malaysia menghadkan akses laporan dalam dan luar negara mengenai hal ehwal semasa di negara ini.
 
Menurut Wisma Putra, kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab mengekalkan keamanan, kestabilan dan keharmonian negara ini serta memelihara nilai dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
 
"Malaysia menghargai jalinan kerjasama menerusi Perkongsian Komprehensif dengan Amerika Syarikat yang melambangkan hasrat ikhlas Malaysia mengekalkan kerjasama progresif dan dinamik dalam pelbagai bidang berkepentingan antara kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.
 
Menurut Wisma Putra, Malaysia percaya Amerika Syarikat turut berkongsi hasrat tersebut dan yakin hubungan dua hala berkenaan dapat terus diperkukuhkan ke tahap yang lebih tinggi melalui kerjasama yang akrab dan pemahaman yang lebih menyeluruh terhadap isu domestik di Malaysia.
 
Pada 25 Februari lepas, SKMM menyekat laman TMI ekoran tindakan portal itu mengeluarkan kandungan yang menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan dilakukan berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai.
 
 

Tiada ulasan: