Selasa, 12 Januari 2016

TPPA berpotensi jejas gerakan koperasi

 
Perjanjian TPPA melibatkan perniagaan dan sekiranya ia menjejaskan Bumiputera, koperasi akan turut terjejas.


tppa-angkasa


PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menggesa kerajaan mengambil kira kepentingan koperasi sebelum bersetuju menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA)

Presidennya, Datuk Abdul Fatah Abdullah, berkata TPPA melibatkan perniagaan dan sekiranya perjanjian sedemikian menjejaskan Bumiputera, maka koperasi akan turut terjejas.

“Sebab koperasi ini kita pun mengharapkan perlindungan kepada kerajaan. Koperasi ini digerakkan daripada orang ramai.

“Jadi kita berharap kerajaan mengambil kira kepentingan gerakan koperasi sebelum bersetuju dengan pelaksanaan TPPA ini,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today di sini, hari ini.

Menurutnya, sebelum kerajaan menandatangani TPPA, kepentingan koperasi dan perniagaan Bumiputera seharusnya dijadikan faktor utama dan bukannya faktor sampingan.

“Jadi ambil kiralah kepentingan ini. Ambil kira kepentingan koperasi juga. Kalau menjejaskan koperasi, tidak payah tandatangan,” tegasnya.

Abdul Fatah menjelaskan, pihaknya juga kini sedang mengkaji kesan TPPA terhadap 11 lagi negara yang menyertai rundingan TPPA itu

“Kita pun akan mengkaji kesan TPPA ke atas koperasi yang mereka laksanakan, apakah kebaikan, keburukan TPPA. Kita sedang mendapatkan info negara yang berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan: