Khamis, 7 Januari 2016

Tiga dari empat mahasiswa tak cukup duit nak makan

MALAYSIAKINI


 


Tiga daripada empat pelajar di universiti awam mengaku berada dalam situasi tidak mampu untuk membeli makanan, menurut kajian yang dijalankan sebuah NGO Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM).

Kaji selidik terhadap 25,632 mahasiswa daripada enam buah universiti itu mendapati 57 peratus daripada mereka hanya memperuntukkan RM5 sehari untuk makanan, 44 peratus makan mee segera manakala 41 peratus hanya makan nasi dengan telur goreng dan sos.

Kajian ini juga mendapati 96 peratus daripada mereka berada di bawah tekanan ekonomi, manakala 97 peratus berkata mereka mahu menggunakan bantuan kewangan daripada MVM.

Kajian itu dijalankan ke atas mahasiswa Universiti Tekonologi Mara, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Kaji selidik itu dibuat selepas tersebar nota dari seorang pelajar di sebuah masjid di media sosial baru-baru ini.

Dalam nota tanpa nama yang ditujukan kepada sebuah jawatankuasa masjid, pelajar tersebut memohon maaf kerana "meminjam" beberapa ringgit daripada tabung masjid untuk membeli makanan, selepas beberapa hari tidak makan makanan berkhasiat.

Mengulas kaji selidik berkenaan, Ketua Biro Mahasiswa PKR, Fahmi Zainol menggesa kerajaan menyalurkan bantuan keperluan asas buat mahasiswa termasuk makanan percuma

"Jika Kerajaan tidak mampu berbuat sedemikian, kerajaan patut malu pada mahasiswa

"Ramai kelompok mahasiswa dengan usaha mereka sendiri menjalankan program makanan percuma buat rakan-rakan Universiti mereka. Walaupun mereka sendiri tidak mempunyai sumber yang mencukupi," katanya.

Terdahulu, Pensyarah UIA Mohamed Aslam Haneef meminta universiti-mewujudkan kerja sambilan di kampus untuk pelajar miskin bagi meringankan beban kewangan mereka.

Aslam juga menggesa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyemak semula pinjaman pelajar berdasarkan kos kehidupan semasa.

Pensyarah ekonomi itu juga mencadangkan, universiti membeli buku rujukan dari pelajar siswazah dan menjual semula kepada mahasiswa dengan harga subsidi seperti diamal di luar negara.


Tiada ulasan: