Khamis, 28 Januari 2016

Tiada raptai angkat sumpah Menteri Besar Kedah hari ini

 
Pegawai Istana Anak Bukit memaklumkan tiada maklumat berhubung penukaran Menteri Besar baharu.





ALOR SETAR: Tiada raptai istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar baharu di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Seorang pegawai istana yang enggan dikenali memberitahu FMT, Istana Anak Bukit tidak menerima sebarang maklumat mengenai penukaran Menteri Besar negeri itu.

“Tiada sebarang upacara atau ‘rehearsal’ akan berlangsung petang ini. Hari ini hanya ada penganugerahan darjah bintang kebesaran sempena keputeraan baginda (Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah) ke-88,” katanya.

Tinjauan juga mendapati, keadaan di sekitar Istana Anak Bukit hanya seperti biasa dan tiada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan persiapan majlis angkat sumpah Menteri Besar baharu diadakan.

Sebelum ini, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah menganugerahkan darjah bintang kebesaran kepada 116 penerima sempena hari keputeraan Tuanku Abdul Halim di Istana Anak Bukit.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan raptai mengangkat sumpah Menteri Besar baharu akan diadakan di Istana Anak Bukit bagi membolehkan upacara istiadat sebenar berlangsung esok.

Akhbar arus perdana itu turut melaporkan bahawa kemungkinan besar istiadat pelantikan Menteri Besar baharu akan berlangsung pada hari ini atau selewat-lewatnya esok.

Tiada ulasan: