KUALA TERENGGANU,  Kerajaan negeri memberi tempoh enam bulan kepada pengusaha vape untuk menghabiskan stok mereka berikutan keputusan mengharamkan penjualan rokok elektronik itu bermula 1 Januari lalu.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri juga akan cuba membantu 40 pengusaha vape yang terjejas pendapatan mereka ekoran pengharaman itu.

Ini dibuat dengan bantuan agensi kerajaan negeri seperti Majlis

Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

“Alhamdulillah, (dalam) perjumpaan hari ini, para pengusaha vape sebulat suara menerima keputusan kerajaan negeri mengharamkan penjualan vape bermula 1 Januari lalu selepas Majlis Fatwa Negeri mengharamkan vape.

“Kita akan bantu pengusaha yang terjejas beralih kepada bidang perniagaan yang lain dengan bantuan kewangan daripada Maidam atau YPU,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pengusaha vape di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda; Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda dan Pengerusi Persatuan Peniaga Vape Melayu Terengganu Muhammad Kamaruzzaman Mahmud.

Ahmad Razif berkata, susulan keputusan itu, kerajaan negeri bersetuju mewujudkan sebuah pusat perniagaan baharu yang menjual barangan elektronik atau Digital Mall bagi membantu peniaga vape yang terjejas.

“Digital Mall akan dibina di Kuala Terengganu dalam masa terdekat dan keutamaan akan diberi kepada pengusaha vape untuk berniaga di situ,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Kamaruzaman ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya akur dengan keputusan itu dan menghargai keputusan kerajaan negeri yang memberi tempoh enam bulan kepada mereka untuk menghabiskan dan menjual semua stok vape sedia ada.

“Kita juga mengalu-alukan usaha kerajaan negeri yang difahamkan akan membina Digital Mall bagi membantu pengusaha vape beralih kepada perniagaan lain selepas tempoh enam bulan yang diberikan kerajaan negeri tamat,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan keputusan mengharamkan penjualan vape di seluruh negeri bermula 1 Januari lalu, selaras dengan fatwa Jawatankuasa Fatwa negeri.

Keputusan yang selaras dengan Majlis Fatwa Kebangsaan itu turut berdasarkan hujah yang berkait dengan kemudaratan kesihatan dan juga unsur pembaziran dengan bersandarkan dalil dan hujan dalam al-Quran dan hadis.