KUALA LUMPUR,  Semua pihak harus menghormati keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengenai tiga kertas siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perdebatan mengenai isu dana RM2.6 bilion dan dua kes membabitkan kes SRC International perlu dihentikan terutamanya di media sosial.

“Di bawah Perkara 145(3), Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

“Kuasa budi bicara yang diberikan kepada Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana kuasa termasuk Mahkamah.

“Dalam erti kata lain, jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan tindakan Peguam Negara dalam mengendalikan sesuatu pendakwaan, maka mereka tidak mempunyai asas untuk mencabarnya di mana-mana korum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Apandi dalam satu kenyataan pada Selasa memutuskan Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan berhubung ketiga-tiga kes berkenaan.

“Keputusan Peguam Negara dibuat setelah meneliti laporan yang dikemukakan daripada pelbagai sudut.
“Oleh itu semua pihak termasuk SPRM perlu patuh kepada keputusan tersebut,” tegasnya.