Khamis, 28 Januari 2016

Speaker Dewan Rakyat dengan ‘teh tarik’

Tan Sri Pandikar Amin Mulia
Tan Sri Pandikar Amin Mulia
 
 
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker), Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini memberi amaran untuk mengeluarkan mana-mana ahli Dewan Rakyat yang ingkar peraturan mesyuarat susulan suasana kecoh ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri memulakan hujah pada sesi penggulungan.

Sebelumnya, Nancy melahirkan rasa terkilan terhadap sikap beberapa ahli Parlimen pembangkang yang melemparkan pelbagai tuduhan dalam isu perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

"Sedarkah Yang Berhormat sekalian, bahawa tuduhan dan tohmahan yang negara kita akan dijual atau kedaulatan negara digadai membawa makna bahawa ahli-ahli Yang Berhormat menuding jari dan menuduh pegawai-pegawai kerajaan dan perunding-perunding kita tidak mempedulikan kepentingan negara dan seolah-olah mereka merunding syarat-syarat yang merugikan negara," katanya yang disambut bantahan beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Kemudian beliau meneruskan hujah dengan mendakwa bahawa tindakan ahli Parlimen pembangkang itu telah membuatkan pegawai dan Jabatan Peguam Negara yang di bawah naungannya tersinggung.

"Ini menggambarkan seolah-olah perunding-perunding kita tidak pandai, tiada semangat patriotisme dan sanggup melihat kedaulatan negara jatuh ke negara lain. Ini amat menyedihkan.

"Oleh itu YB, fikirlah dahulu sebelum lantang bersuara, menuduh secara membuta tuli, tidak perlulah berpolitik dan bersandiwara seolah-olah pembangkang sahaja yang sayangkan negara.

Manakala kami di pihak kerajaan tidak mempedulikan negara," katanya.

Suasana semakin gamat apabila ramai ahli Parlimen pembangkang yang bangkit hingga menyebabkan Pandikar memberi amaran.

Antaranya Ahli Parlimen Batu, Rasah, Kapar dan Ipoh Barat yang kelihatan dirakamkan bangun sambil melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Nancy itu.

Pandikar terus mengarahkan semua ahli Parlimen duduk sebelum mengingatkan tentang peraturan mesyuarat 35.

"Ini masalah besar. Peraturan mesyuarat 35, sesiapa yang nak berhujah itu, berdiri. Selepas itu tunggu sama ada Speaker benarkan atau tidak. Sebelum dijemput, tidak boleh bercakap. Tetapi peraturan mesyuarat sudah diubah.

"Masalah besar saya, terpaksa tutup telinga, pejam mata. Siapa lagi berdiri, mengganggu menteri, saya tidak teragak-agak untuk arah dia minum teh tarik di luar," katanya.

Seterusnya Nancy meneruskan hujah ‎mengenai Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS)‎ dan menyatakan tiada soalan dibenarkan ketika beliau berhujah dan hanya menerima soalan selepas selesai beliau berhujah.

Suasana kecoh lagi ketika beliau sedang menjawab soalan daripada Lembah Pantai, hingga‎ Speaker sekali lagi cuba menenangkan ahli-ahli Parlimen pembangkang termasuk Shah Alam yang bangkit mempertikaikan angka yang disebut Nancy

Tiada ulasan: