Ahad, 24 Januari 2016

Sokong TPP: Ahli politik perlu bersedia ditolak


 Sokong TPP: Ahli politik perlu bersedia ditolak
Antara peserta perhimpunan bantah TPP di Padang Merbok.


KUALA LUMPUR - "Setiap pihak perlu bersatu padu menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) tanpa mengira ideologi parti serta agama," kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut beliau, Himpunan Bantah TPP yang dianjurkan itu adalah bagi menyatakan bantahan terhadap perjanjian berkenaan yang bakal ditandatangani oleh kerajaan memandangkan masa depan negara perlu menjadi keutamaan pada masa ini.

"Selain peserta yang terlibat pada hari ini, kita juga minta supaya pihak Majlis Fatwa Kebangsaan, mufti serta golongan agamawan untuk bersatu-padu menyatakan pendirian mereka berhubung perjanjian ini," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup, petang tadi.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, keputusan ini adalah penentu kepada nasib ganerasi akan datang.

Selain itu, beliau turut mengingatkan mana-mana Ahli Parlimen yang menyokong perjanjian TPP berkenaan akan berdepan risiko untuk tidak lagi dipilih oleh rakyat pada PRU akan datang.

"Kalau kerajaan nak teruskan perjanjian ini, mereka mesti sedia untuk tidak dipilih pada PRU akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, tindakan kerajaan menandatangani perjanjian TPP berkenaan akan memberikan ruang buat Amerika Syarikat untuk menguasai ekonomi negara ini.

Menurut beliau, Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang sedang jatuh dan disebabkan itu mereka menjadikan 12 buah negara yang terikat dengan perjanjian berkenaan sebagai alat untuk menyelamatkan ekonomi negara itu.

"Nasib rakyat akan bertambah sukar khususnya dari sudut ekonomi malah Malaysia akan kekal menjadi negara ketiga sampai bila-bila," katanya.

Tiada ulasan: