Selasa, 26 Januari 2016

Singkir Mukhriz hanya khabar angin, kata MCA Kedah

Susan Loone







Laporan untuk menggulingkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dengan 19 daripada 21 ADUN dikatakan membuat akuan bersumpah (SD) untuk menyingkirkannya minggu ini hanya lah merupakan khabar angin, kata MCA Kedah.

Exco Kedah, Leong Yong Kong berkata tiada mana-mana pihak mendekati wakil MCA untuk menandatangani SD berkenaan seperti dilaporkan akhbar The Star hari ini.

"Saya juga terkejut kerana tiada cerita seumpama itu. Saya ingin tahu mengapa dikatakan bahawa kami telah menandatangani SD berkenaan.

"Anda perlu bertanya kepada wartawan itu di mana dia dapat cerita. Setakat ini, tiada siapa yang telah mendekati saya.

"Adalah lebih baik bagi orang ramai tidak membuat atau menyebarkan khabar angin itu dan tunggu keputusan akhir mengenai perkara ini," kata Leong yang juga ADUN Gurun, kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang berada di Langkawi semalam, berkata apa-apa mengenai SD yang berkaitan dengan penyingkiran Muhkriz sebagai MB, Leong berkata, "Tiada apa-apa seperti itu".

Beliau berkata keadaan adalah sangat rumit dan MCA hanya boleh menunggu keputusan akhir.

"Perkara itu semata-mata di tangan Umno Kedah, jadi kami menyerahkan kepada mereka menyelesaikannya," tambahnya.




Tiada ulasan: