Khamis, 28 Januari 2016

Singkir Mukhriz, BN Kedah tetap menang PRU14

N Faizal Ghazali


 


ULASAN Ketika kedudukan perdana menteri dilihat masih goyang akibat pelbagai tuduhan, tiba-tiba jawatan menteri besar Kedah cuba diganti melalui penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Walaupun penyingkiran Mukhriz dilihat memberi kesan kepada BN dalam pilihan raya akan datang khususnya di Kedah, namun di pihak pembangkang ia mungkin bukan berita baik seperti diharapkan.

Ketika Umno Kedah berdepan kemungkinan berpecah akibat rasa tidak puas hati dengan penyingkiran Mukhriz, pihak pembangkang sendiri tidak padu untuk menyediakan alternatif meyakinkan kepada rakyat negeri itu.



Malah, 'eksperimen' Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Umno menyingkirkan timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini juga dilihat berjaya.

Tindakan Najib sebelum ini tidak memberi kesan mudarat kepada parti itu. Maka apalah sangat dengan Mukhriz?

Selain itu, BN juga mengambil kira perpecahan yang berlaku dalam parti pembangkang yang mengakibatkan kepercayaan pengundi mereka merosot dan berpecah.

Dengan tempoh pilihan raya umum ke-14 (PRU14) masih panjang, BN masih berpeluang 'mengumpan' pengundi dan melupakan betapa sayangnya rakyat Kedah kepada Mukhriz sebelum ini.

Keyakinan BN

Penulis masih ingat betapa nama Mukhriz meniti di bibir orang Kedah dan pemimpin Umno menjelang PRU13 lalu.

Perubahan drastik dilakukan Najib dengan mempertaruhkan anak bekas perdana menteri itu untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam.

Sedangkan ketika itu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengetuai Umno Kedah dan beliau dikatakan terpaksa berkorban dan dijanjikan jawatan di kabinet Najib.

Malah, ketika itu Mukhriz juga tidak diberi keyakinan untuk bertanding di kerusi parlimen seperti mana pilihan raya sebelum ini.



 Ayer Hitam sebelum itu dimenangi PAS dan Mukhriz mengambil risiko bertanding untuk merampas kerusi itu di samping namanya dijaja sebagai bakal menteri besar dan menggunakan pengaruh bapanya Tun Dr Mahathir Mohamed.

Ternyata aura beliau memberi kemenangan BN di Kedah. Mukhriz kemudiannya disenangi rakyat pelbagai lapisan sebagai dengan jawatan orang nombor satu Kedah.

Pada akhirnya, mungkin hanya senyum dan selfie beliau menjadi rindu rakyat di negeri Darul Aman selepas sepak terajang politik BN selepas ini berjaya menyingkirkan Mukhriz.

Tetapi, BN tetap mempunyai keyakinan terhadap pengundi mereka - tidak beralih undi kepada pembangkang, tidak akan berlaku perpecahan besar di kalangan mereka seperti mana penyingkiran Muhyiddin.

Pejuang 'lone ranger' 

Sifir itu diambil kira dengan sokongan ketua-ketua bahagian, kepimpinan sayap-sayap Umno yang kebanyakannya tidak memihak kepada Mukhriz. Kalau ada pun hanya sebahagian kecil mungkin 'terpaksa' memihak kepada keutamaan parti ketika ini.

Dan apa sahaja pelan pembangunan yang tertangguh akan kembali bersinar menjadi modal politik Kedah. Itulah barangkali percaturan dan penelitian BN yang kini dalam misi menyingkirkan ADUN Ayer Hitam itu.
Sementara itu, Mukhriz menjadi pejuang 'lone ranger' tanpa penyokong besar di kalangan pemimpin BN untuk melawan atau menyekat cubaan menyingkirkan beliau.

Di pihak pembangkang khususnya PAS sebagai parti kedua terbesar di negeri jelapang padi itu hanya boleh berangan untuk merampas kembali kuasa yang pernah diraih pada PRU12 lalu.

BN memenangi 21 kerusi DUN, manakala PAS hanya berjaya di sembilan kerusi di samping empat kerusi milik PKR dan dua kemenangan DAP pada PRU13.


Rekod BN hanya mencatatkan dua kerusi tidak selamat yang dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 iaitu DUN Kulim dan Belantek, manakala PAS mempunyai satu kawasan kelabu iaitu DUN Merbau Pulas serta PKR di Bukit Selambau.

Di kerusi parlimen pula, BN Kedah menguasai 10 daripada 15 parlimen berbanding PRU 2008 di mana 12 kerusi parlimen dimenangi pembangkang.

Jadi, dengan perseteruan antara PAS-DAP dan PAS-Pati Amanah Negara (AMANAH) apakah mungkin pemerintahan PAS seperti bawah allahyarham Tan Sri Azizan Razak (gambar) dulu boleh dikembalikan? jawapannya BN lebih berkeyakinan untuk terus menguasai Kedah.


Tiada ulasan: