Jumaat, 15 Januari 2016

Senarai anggota majlis PBT diumumkan minggu depan - Azmin Ali

ANTARAPOS.COM


Post Pic


SHAH ALAM: Senarai anggota majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor sudah dimuktamadkan dan pengumuman mengenainya akan dibuat minggu depan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas agihan kerusi yang diberikan kepada setiap parti politik termasuk Parti Amanah Negara (PAN) bagi mewakili PBT di negeri ini.

"Semua parti termasuk (parti) AMANAH telah melalui proses perbincangan dan bersetuju dengan agihan tersebut...terima kasih juga kepada DAP dan PAS yang melihat penyertaan sebagai anggota majlis ini bukan sebagai ganjaran politik tetapi sebagai tanggungjawab yang perlu dipukul.

"Bagi senarai ini, setiap PBT akan mengumumkan nama anggota majlis masing-masing pada minggu hadapan disusuli dengan majlis angkat sumpah atas pelantikan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES), di sini Khamis.

Difahamkan, kerajaan negeri telah memperuntukkan 10 kerusi anggota majlis PBT Selangor kepada wakil PAN manakala DAP dan PAS masing-masing menerima 96 dan 67 kerusi.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula difahamkan menerima 101 kerusi dan lima kerusi lagi diperuntukkan untuk wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi penggal 2016-2017 bermula 15 Jan ini.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah dilaporkan berkata, kerajaan negeri memperuntukkan lapan kerusi anggota majlis kepada wakil PAN hasil persetujuan bersama PKR, PAS dan DAP.

Sementara itu, Mohamed Azmin menafikan wujud perbalahan antara anggota exco negeri daripada DAP dan PAS dan menyifatkan pentadbiran negeri ini berjalan baik dengan kerjasama kedua-dua parti itu.

"Apa yang berlaku itu hanyalah disensasikan oleh media...di Selangor semua parti menunjukkan kematangan dan tidak bermain politik," katanya.

Dalam laporan media baru-baru ini, PAS Selangor menyifatkan DAP sebagai ancaman kepada parti itu berikutan DAP berhasrat merampas kerusi yang dimenangi PAS di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang. – BERNAMA

Tiada ulasan: