KUALA LUMPUR,  Walaupun hanya tiga hari berlalu, penganjuran Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL30) yang berlangsung malam Ahad lalu masih lagi diperkatakan walau tidak sehangat seperti tahun-tahun sebelum ini.


Entah mengapa, sebagai pengikut tegar AJL sejak dari tahun 1986, tahun ini saya merasakan ada sesuatu yang kurang dan tidak memberikan impak yang besar seperti lazimnya.

Saya sendiri tertanya di manakah silapnya AJL30 sehingga ia tidak diraikan sebaik mungkin seiring dengan ulang tahunnya yang sudah mencecah tiga dekad.

Seharusnya, pada usia itu, sambutan yang perlu diberikan terhadap AJL seharusnya setimpal dengan tema pertandingan itu tahun ini yang berbunyi tiga dekad mencipta fenomena.

Apakah lagu yang bertanding tahun ini tidak sehebat atau tidak mencabar seperti tahun-tahun sebelum ini atau mungkin pemilihan lokasinya di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor yang tidak berupaya menaikkan semangat penonton untuk meraikan AJL?

Dari satu aspek lain, mahu atau tidak, semua pihak harus akui, industri muzik ketika ini sudah jauh berubah. Konsep muzik tatkala ini lebih ke arah untuk memenuhi kehendak generasi muda dan baharu yang hanya tahu berhibur tanpa menghargai nilai muzik sebenar.

Mengapa di zaman kegemilangan AJL, katakanlah, 10 tahun lalu masih lagi mampu unuk mencipta fenomena dan menjadi bualan ramai sehingga beberapa ketika lamanya?

Sedangkan AJL30, tidak ramai yang memperkatakannya walhal ia seharusnya mampu mencipta fenomena agar terus menjadi bualan ramai untuk beberapa ketika.
ajl-m-16
Komposer legenda, Datuk Ooi Eow Jin menerima anugerah khas di atas sumbangannya 
terhadap penghasilan lagu-lagu tema untuk program terbitan TV3. – Foto TRP/Syahirah 
Roslan
Berpeluang menonton AJL30 secara langsung di Shah Alam tempoh hari bagaikan memberikan satu indikasi bahawa sesuatu perlu dilakukan oleh pihak TV3 terutamanya untuk terus memperkasakan AJL untuk masa akan datang.

Sementelah diangkat sebagai satu-satunya pertandingan berprestij yang mengiktiraf komposer dan penulis lirik tempatan, maka, AJL sewajarnya harus dipelihara sebaik mungkin agar martabat AJL tidak akan terus diperlekehkan.

Dari perspektif saya yang menonton AJL30, saya melihatnya bukan lagi sebuah pertandingan gah yang satu ketika dahulu merupakan sebuah acara yang cukup dinanti-nantikan oleh hampir kesemua rakyat Malaysia.

Bahkan, lagu-lagu yang bertanding ketika itu semuanya mempunyai kualiti dan nilai estetika tinggi yang mempamerkan kehebatan masing-masing sehingga peminat sendiri sukar untuk meramal siapakah bakal pemenang.

Sebaliknya, AJL di mata saya sudah menjadi sebuah acara hiburan biasa yang langsung tidak membangkitkan rasa pertandingan. Lagu-lagu yang bertanding pula tidak berupaya untuk menjadikan AJL sebagai pentas dalam mempamerkan kehebatan karya tempatan.

Mungkin faktor usia saya juga yang melihat AJL semakin suram tetapi percayalah, ramai di kalangan peminat acara itu mahu AJL kembali gah seperti mana yang pernah dicipta satu ketika dahulu.

Benar. Kesalahan tidak seharusnya dituding 100 peratus kepada TV3 selaku penganjur kerana mereka memberi ruang dan platform menerusi program mingguan Muzik-Muzik untuk mengetengahkan lagu-lagu ciptaan anak tempatan.
ajl-m-18
Persembahan duet dua bekas pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu, Hafiz Suip da
Jaclyn Victor turut mendapat pujian ramai. – Foto TRP/Syahirah Roslan
Mereka perlu mengikut arus muzik perdana masa kini dan mahu atau tidak, seperkara yang perlu diakui adalah faktor populariti biarpun hampir kebanyakan lagu hari ini tidak memberikan definisi sebenar tentang erti sebuah karya.

Saya percaya ramai yang merindukan persembahan penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris, misalnya yang dikenali akan berhabis-habisan memberikan persembahan terbaik untuk lagu berentak irama Malaysia dan etnik kreatif.

Begitu juga dengan kehadiran penyanyi yang memiliki suara hebat seperti Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Nora, Liza Hanim, Aishah dan Datuk M. Nasir yang satu ketika dahulu nama-nama besar untuk AJL.

Sebagai media yang menjadi perantara kepada masyarakat, perkara ini sudah acap kali dibahaskan di media tetapi akhirnya ia ibarat mencurah air di daun keladi yang tiada siapa endahkan.

Semuanya berbalik kepada penghargaan daripada masyarakat negara ini yang kurang bijak menilai karya terbaik yang membuatkan stesen radio, syarikat rakaman dan penyanyi itu sendiri sanggup untuk ‘melacurkan’ prinsip mereka demi survival.

Itu adalah satu realiti di negara ini. Jadi, apabila perkara ini terjadi, maka, sebagai stesne penyiar, TV3 harus juga tunduk kepada kehendak pasaran demi untuk terus menghidupkan AJL.

Di sebalik itu, saya memuji segelintir karyawan muzik tempatan yang masih tidak kenal erti putus asa dalam menghasilkan karya yang mempunyai nilai kualiti tinggi untuk terus dikongsikan bersama masyarakat.
ajl-m-15
Gandingan AG dan Fara Fauzana hanyalah sekadar biasa-biasa sahaja. – Foto TRP/Syahirah Roslan
Cuba tanya kepada diri masing-masing mengapa lagu yang pernah bertanding mahupun bekas juara AJL sehingga ke hari ini masih diminati dan menjadi siulan ramai. Mengapa pula hampir kebanyakan lagu dalam pasaran ketika ini nikmatnya hanya seketika dan tidak mampu untuk dinikmati dalam tempoh lama?

Seperkara lagi yang menarik perhatian saya apabila ketiadaan bekas juara AJL pada hari pertandingan itu terutama M. Nasir yang merupakan komposer paling banyak memenangi Juara Lagu iaitu empat kali.

Sehinggakan namanya langsung tiada dalam senarai artis yang membuat persembahan sedangkan dia layak berbuat demikian bagi meraikan tiga dekad penganjuran AJL. Jangan pula bila beliau sudah tiada baru hendak membuat segmen khas pula.

Sempat juga saya bertanya kepada pihak TV3 mengapa penyanyi bersuara hebat, Aishah tidak dijemput untuk meraikan ulang tahun AJL sedangkan Aishah penyanyi pertama yang memenangi AJL lebih daripada sekali sebelum Siti Nurhaliza mengambil alih gelaran itu.

Adakah kerana perbezaan ideologi politik menyebabkan Aishah tidak dijemput atau diberi peluang membuat persembahan.

Seharusnya Aishah diberi peluang itu agar ia dapat membuka mata dan membuktikan kepada generasi baharu terutamanya bahawa industri muzik pernah memiliki penyanyi bertaraf antarabangsa seperti Aishah.

Ini hanyalah secebis coretan yang bukan untuk menjatuhkan TV3 dan AJL tetapi untuk menyedarkan semua pihak bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk memartabatkan kembali industri muzik tempatan agar kembali meriah seperti dahulu.
ajl-m-17
Lagu Knock Knock ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan yang disampaikan Elizabeth Tan 
 antara yang menjadi perdebatan apabila tersenarai menjadi finalis tahun ini. – Foto 
TRP/Syahirah Roslan