Rabu, 6 Januari 2016

Selepas #2kerja dan #tambahpendapatan, Ahmad Maslan ketengah formula PKPK

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tidak 'terkesan' dengan kritikan rakyat Malaysia berhubung cadangan #2kerja dan #tambahpendapatan sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan mengetengahkan pula formula baru untuk mengatasi kos sara hidup.  
 
Muncul dalam program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI) yang membincangkan topik #2kerja dan #tambahpendapatan, Ahmad menampilkan formula yang dikenali sebagai PKPK, singkatan kepada pendidikan, kemahiran, produktiviti dan keusahawanan.
 
Dengan memiliki keempat-empat elemen berkenaan, ujar Ahmad, secara tidak langsung kos sara hidup yang tinggi dapat diserap. 
 
"Apabila di luar heboh tentang kos sara hidup maka sebagai pemimpin kita kena cari formula untuk bantu rakyat.
 
"Saya ada formula iaitu PKPK iaitu pendidikan, kemahiran, produktiviti dan keusahawanan.
 
"Kalau ada pendidikan maka kita akan dapat gaji yang baik, kos sara hidup yang tinggi dapat diserap. Kalau kita ada kemahiran, kita dapat kerja baik, gaji tinggi maka kos sara hidup yang tinggi dapat diserap.
 
"Kalau kita seorang yang produktif, dengan segala usaha untuk menambah pendapatan, maka kos sara hidup yang tinggi dapat diserap.
 
"Keusahawanan, meniaga.. Khadijah dan Nabi (Muhammad) dulu dah tunjukkan bahawa 9 daripada sepuluh punca kekayaan adalah dari hasil perniagaan. Bukankah itu patut diikuti," katanya dalam program tersebut. 
 
Dalam pada itu ujarnya, selain formula PKPK, masyarakat patut menyahut seruan untuk menambah pendapatan kerana ia turut digalakkan kerajaan. 
 
"Selain PKPK, satu lagi idea adalah 1Keluarga 1Usahawan untuk menambah pendapatan. Satu lagi 1Kampung 1Produk, 1Daerah 1Industri.. Itu juga digalakkan oleh kerajaan sebenarnya," kata beliau.  
 
Mengulas berhubung cadangannya sebelum ini, Ahmad berkata ia bukan untuk menyusahkan lagi rakyat.
 
"Jadi cadangan saya itu tak mahu menyusahkan rakyat sebenarnya..dan saya pun cadangkan perniagaan dalam talian dilakukan pada waktu malam, pada hujung minggu kalau dibenarkan dan mengikut peraturan.
 
"Bisnes dalam talian ni orang boleh jadi jutawanlah," ujar Ahli Parlimen Pontian itu.
 
Malah Ketua Penerangan Umno itu menyifatkan kritikan hebat yang dilontarkan kepada beliau adalah disebabkan tindakan sesetengah pihak yang memutar belit kenyataannya sehingga menyebabkan ia disalah tafsir masyarakat.  
 
"Saya menerima kritikan secara positif. Saya lihat orang yang kritik keterlaluan sebagai mereka yang tak dapat maklumat sepenuhnya. Mereka ambil sebahgian kecil daripada banyak yang saya sebarkan itu dan mereka 'spin'.
 
"Malaysia suka buat kerja 'spin'. Daripada kita 'spin' fitnah, lebih baik kita buat kerja yang produktif iaitu kita berniaga misalnya," katanya. 


Tiada ulasan: