Jumaat, 22 Januari 2016

Saya tak lakukan sebarang kesalahan, kata Mukhriz

Geraldine Tong  







Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berdepan dengan percubaan untuk menggulingkannya menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Saya tidak fikir saya lakukan sebarang kesalahan," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Subang.

Mukhriz ditanya sama ada beliau bimbang sekiranya tindakan disiplin mungkin diambil ke atasnya.

Mengenai sama ada beliau berhasrat untuk berbuat apa-apa berhubung tindakan 14 pemimpin Umno Kedah yang mengumumkan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya, Mukhriz sekadar berkata, beliau akan ‘tunggu dan lihat’.

Beliau juga enggan mengulas apabila diminta mengulas sekiranya tindakan tatatertib seharusnya diambil ke atas 14 pemimpin Umno itu.

Beliau pada mulanya enggan mengulas sama ada dirinya hadir bagi mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak tetapi apabila diasak, secara berseloroh soalnya, "(Perdana Menteri) negara mana?"

Menurut seorang kakitangan lapangan terbang, Mukhriz tiba sekitar jam 6 petang dari Pulau Pinang.

Kira-kira 30 penyokong hadir menyambutnya, termasuk Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara).

Mereka membawa sepanduk yang berbunyi "Ansara sokong Mukhriz Mahathir" dan penyokong melaungkan "Hidup Mukhriz".


Tiada ulasan: