Jumaat, 1 Januari 2016

Rakyat diminta berjimat, kerajaan pula membazir – Muhyiddin

 
Kerajaan perlu pastikan setiap sen wang dikutip daripada rakyat dibelanjakan untuk manfaat rakyat teramai 


muhyiddin


PETALING JAYA : Pemimpin kerajaan bertanggungjawab untuk mencegah ketirisan, pembaziran dan pemborosan dalam perbelanjaan ketika rakyat diminta supaya berjimat cermat dan bekerja lebih masa untuk menambah pendapatan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, amat malang jika rakyat menanggung beban kerana kenaikan kos sara hidup tetapi kerajaan membiarkan ketirisan yang hanya memberi keuntungan kepada golongan kecil tertentu sahaja.

“Malang sekali sekiranya dalam keadaan rakyat sedang menanggung beban kos sara hidup yang kian meningkat, peruntukan kewangan kepada kementerian-kementerian dikurangkan dan sebahagian subsidi kerajaan dihapuskan untuk mengurangkan tanggungan kewangan kerajaan, masih berlaku ketirisan, pembaziran dan pemborosan dalam pengagihan kontrak dan konsesi kerajaan yang hanya menguntungkan sekalangan kecil individu,” katanya dalam perutusan Tahun Baru 2016.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan perlu memastikan setiap sen yang dikutip daripada cukai dibelanjakan untuk manfaat rakyat.

“Setiap sen cukai yang dikutip daripada rakyat mesti dikembalikan semula kepada rakyat melalui peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan awam, kemudahan awam, pendidikan, pengangkutan, kesihatan dan program-program kebajikan yang benar-benar memanfaatkan golongan sasar,” katanya.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, 2015 merupakan tahun yang malap bagi Malaysia dari segi integriti dan ketelusan tadbir urus negara.

“Skandal 1MDB, misteri derma politik RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, pemecatan Peguam Negara, pelantikan beberapa ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang sedang mendengar kes 1MDB sebagai anggota pentadbiran, pertukaran serta merta beberapa pegawai kanan SPRM yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB dan keengganan Peguam Negara mendakwa pihak-pihak tertentu berdasarkan hasil siasatan Bank Negara mengenai dakwaan salah laku urusniaga 1MDB menimbulkan banyak persoalan dan keraguan mengenai ketelusan dan integriti dalam tadbir urus negara.

“Sehingga kini penjelasan kerajaan mengenai skandal 1MDB masih gagal meyakinkan rakyat. Mereka ingin melihat pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kehilangan wang dan harta negara dalam nilai yang besar dibawa ke muka pengadilan. Nampaknya, tirai 2015 dilabuh dengan krisis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan masih belum pulih,” katanya.

Muhyiddin juga berharap perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama diperkukuhkan demi kesejahteraan bersama.

“Jangan kita biarkan pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mengapi-apikan sentimen kaum dan agama semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu tadbir urus negara yg semakin meruncing. Ingatlah, mengekalkan perpaduan kaum, mewujudkan keharmonian agama dan memelihara keamanan negara adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Tiada ulasan: