Isnin, 4 Januari 2016

PRU-14: PAN mahu bertanding di Kelantan

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (PAN) membayangkan akan bertanding di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kelantan, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 
 
Bagaimanapun, PAN masih memberi masa kepada pucuk pimpinan PAS Kelantan sama ada bersedia untuk bekerjasama atau sebaliknya untuk menghadapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu nanti. 
 
Pengerusi PAN Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah, berkata beliau pernah mengemukakan cadangan dalam satu dialog bersama pengundi pada Ogos tahun lalu untuk membentuk gagasan kerjasama dengan PAS untuk menghadapi UMNO dan BN. 
 
Katanya, secara peribadi beliau tidak mahu melihat Kelantan akan diperintah semula oleh BN dan UMNO. 
 
"Sebenarnya, saya sudah tidak dapat menunggu lebih lama lagi mengenai cadangan untuk bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi UMNO dan BN. 
 
"Kerjasama ini tidak bermakna kita tidak bertanding. Ada tempat kita letak calon dan ada tempat kita akan bantu PAS. 
 
"Namun, saya pun tidak boleh tunggu terlalu lama dan rasa sudah tidak boleh tahan (sabar) kerana sehingga kini tiada sambutan balas daripada pemimpin PAS negeri ini. 
 
"Jadi, kalau tidak ada reaksi daripada pimpinan PAS negeri terhadap gagasan untuk bekerjasama pada PRU-14, kita tidak ada pilihan. Tapi kita masih menunggu dan sedia berunding untuk bekerjasama termasuk keputusan dari Pesuruhjaya PAS Kelantan yang juga Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi. 
 
Beliau mengulas mengenai dakwaan Timbalan Pesuruhjaya PAS I, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa Wan Abdul Rahim sebelum ini berjanji PAN tidak akan bertanding di Kelantan pada PRU-14. 
 
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar, berkata jika PAN bertanding di Kelantan, tindakan itu seperti membantu UMNO dan BN kerana ia boleh memecah undi.
 
 

Tiada ulasan: