Khamis, 7 Januari 2016

PPIM dakwa berlaku ketirisan di Imigresen Selangor

 
Ia susulan dua pasport antarabangsa dikeluarkan kepada dua anak Zahnita sedangkan passport lama masih lagi sah sehingga 2019.


passport


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa berlaku ketirisan dalam proses pengeluaran pasport oleh pihak Jabatan Imigresen Selangor.

Aktivis PPIM, Mazlina Abu Bakar berkata, dakwaan itu susulan aduan daripada model terkenal, Zahnita Dorothy Hussien Wilson, 30, apabila mendakwa berlaku pengeluaran dokumen perjalanan antarabangsa baru terhadap dua anaknya Zahrafeena Abd Zackery, 9, dan Zasharayna Abd Zackery, 3, oleh pihak Jabatan Imigresen Selangor.

“Pasport kedua-dua anak Zahnita itu masih lagi dalam tempoh sah dan berada dalam simpanannya.

“Dia (Zahnita) mendapat tahu wujudnya pengeluaran pasport antarabangsa itu apabila suaminya Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 37 membawa anaknya ke Phuket pada 2 Disember tahun lalu,” katanya pada sidang media di pejabat PPIM hari ini.

Mazlina berkata, sebelum ini Zahnita sudah cuba berhubung dengan pihak Imigresen untuk meminta penjelasan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, apabila Duta Jakel itu pergi ke pejabat Imigresen, dia difahamkan oleh seorang pegawai bahawa suami dan dua anaknya itu akan ditahan jika masuk ke negara ini, namun, perkara itu tidak berlaku.

Mengulas lanjut, Mazlina menggesa agar perkara itu disiasat oleh pihak atasan Imigresen bagi mengelak dokumen penting itu disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah.

“Saya rasa ada penyalahgunaan kuasa dalam Imigresen… Ketua Pengarah Imigresen diminta menyiasat perkara ini,” tegasnya.

Untuk rekod, pasport asal yang disimpan oleh Zahnita dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Selangor sama seperti yang dikeluarkan untuk suaminya.

Zahnita dan Abd Zackery dilapor sedang dalam proses perceraian dan hak penjagaan anak mereka masih belum ditentukan oleh pihak mahkamah syariah.

Dalam pada itu, Zahnita yang hadir sama pada sidang media berkenaan turut meluahkan kebimbangannya mengenai perkara tersebut.

“Kenapa mereka (Imigresen) begitu mudah mengeluarkan pasport baru tanpa ada laporan polis jika ia dikatakan hilang.

“Sudah tentu ada polisi yang sepatutnya dan saya minta ia diperketatkan pada masa akan datang,” ujarnya.

Tiada ulasan: