Selasa, 12 Januari 2016

Polis beritahu mahkamah protes tak salah

Hafiz Yatim







Seorang pegawai penyiasat polis ASP Roszaini Abdul Hamid, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, bahawa tidak salah berkumpul di jalan raya untuk mengadakan sesuatu bantahan.

Memberi keterangan dalam kes hasutan anggota parlimen Baru Tian Chua, Roszaini berkata beliau bersetuju bahawa perkauman atau amalan rasuah dalam negara adalah salah.

Roszaini berkata beliau bersetuju dengan protes awam terhadap perkara itu tetapi menolak langkah menggulingkan kerajaan.

Roszaini berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam New Sin Yew.

Anggota pasukan keselamatan itu juga bersetuju Tian Chia tidak mengajak orang ramai bertindak ganas atau melanggar undang-undang dalam perhimpunan 18 Mei 2013.

Saksi pendakwaan keempat itu sebelum ini memberitahu Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Julia Ibrahim bahawa beliau melihat rakaman ucapan Tian Chua pada 13 Mei 2012.

Beliau juga memberitahu menyediakan transkripnya sehari selepas acara di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH).

Katanya, beliau mendapati ucapannya berunsur hasutan dan mencadangkannya kepada Pejabat Peguam Negara yang kemudian bersetuju dengan pandangan itu.

Tian Chua sedang dibicarakan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan hasutan dalam forum di KLSCAH di ibu negara.

Turut didakwa pemimpin pelajar Mohd Safwan Anang dan peguam Haris Ibrahim, aktivis Hishamudin Rais dan anak bekas timbalan perdana menteri Datuk Tamrin Ghafar.

Perbicaraan masuk hari pertama hari ini. Pendakwaan menyerahkan transkrip ucapan Tian Chua hari ini.

Tiada ulasan: