Jumaat, 15 Januari 2016

PM jamin GST tak naik walau pendapatan negara jatuh

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memberi jaminan bahawa kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dinaikkan dalam semakan bajet akhir bulan ini walaupun hasil pendapatan negara jatuh.

Katanya, kerajaan lagsung tidak dibincangkan kerajaan kerana memahami rakyat tidak lagi berupaya menangani peningkatan dalam cukai.

"Saya rasa rakyat tidak berupaya lagi untuk menerima sebarang kenaikan berdasarkan kos sara hidup semasa," katanya yang dipetik akhbar Berita Harian.

Najib dijangka mengumumkan semakan bajet pada 28 Januari ini yang akan menyaksikan beberapa langkah penjimatan berikutan hasil pendapatan negara semakin merosot akibat kejatuhan harga minyak dunia.

Beliau hari ini mengadakan pertemuan selama tiga jam dengan penganalisis dan ahli ekonomi, peneraju industri dan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE)

Najib berkata banyak maklum balas dalam pertemuan itu dan rata-rata menyokong langkah semakan bajet yang dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan.

Antara perkara yang diberi tumpuan termasuk dasar fiskal negara dan kewangan, beberapa isu seperti meningkatkan hasil negara, mengoptimumkan perbelanjaan, menentukan keutamaan baru dan keberhasilan maksimum dari segi perbelanjaan.

"Pangubasuaian bajet ini tidak boleh dilihat secara terpencil tetapi sebagai pakej dasar menyeluruh oleh kerajaan.

"Kita perlu mempertimbangkan mengenai pertumbuhan dalaman, pekerjaan, inflasi dan kos sara hidup," katanya lagi.


Tiada ulasan: