Selasa, 12 Januari 2016

PKR dedah bauksit tidak dikenakan duti eskport

 
Semakan yang dibuat di laman sesawang KDRM menunjukkan kadar duti eksport bagi bauksit adalah 0%.


rafizi,bauksit,eksport


PETALING JAYA: PKR mendedahkan hasil bauksit yang dilombong di Kuantan, Pahang langsung tidak dikenakan duti eskport.

Naib Presidennya, Rafizi Ramli berkata, semakan yang dibuat di laman sesawang Kastam Diraja Malaaysia (KDRM) menunjukkan kadar duti eksport bagi bauksit adalah 0%.

“Apabila Datuk Seri Adnan Yaakob (Menteri Besar) menyebut Kerajaan Pahang mengutip royalti sebanyak RM47 juta dalam 2015 hasil dari perlombongan bauksit, saya menyemak kod tarif bagi bauksit di laman sesawang KDRM.

“Perkara yang mengejutkan dan membimbangkan saya adalah kadar duti eksport bagi bauksit di bawah kod 260600000 adalah 0%,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu menggesa agar Kerajaan Persekutuan mengenakan duti eksport sebanyak 10% setanding dengan duti eksport ke atas kelapa sawit.

“Jika Kerajaan Persekutuan peka dengan kesan dengan perlombongan bauksit dan kos membaikpulih alam sekitar, paling kurang ia perlu mengenakan duti eksport sebanyak 10 peratus.

“Ia setanding dengan duti eksport ke atas kelapa sawit dan jika ia dilakukan, hasil ini boleh dibahagikan pada pecahan 50:50 dengan Kerajaan Pahang seperti kehendak Akta 396,” katanya.

Rafizi turut meminta agar Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan mengesahkan adakah Kerajaan Persekutuan lalai kerana tidak mengenakan duti eksport ke atas bauksit.

“Akibat kelalaian itu, Kerajaan Persekutuan rugi sekurang-kurangnya RM180 juta dalam bentuk duti eskport bagi tahun 2015,” jelasnya.

Tiada ulasan: