Selasa, 12 Januari 2016

PERKASA: Pelajar tak kebuluran, tapi tetap ikat perut

Shakira Buang


   


PERKASA hari ini berkata tidak timbul soal pelajar kebuluran. Sebaliknya, kata kumpulan pendesak Melayu itu, mahasiswa sebenarnya tidak biasa hidup susah dan tidak dapat membiasakan diri dengan peningkatan kos sara hidup.

“Mereka ini tidak boleh hidup dengan cara yang sempurna, yang makan nasi dua, tiga kali sehari tetapi kini terpaksa makan nasi sekali sehari akibat kos sara hidup yang tinggi,” kata Presidennya Datuk Ibrahim Ali.

"Kena ikat perut makan nasi sehari sekali, susah-susah sikit.”

Bekas aktivis mahasiswa di era 70-an itu berkata segala keperluan pelajar di institut pengajian tinggi kini ditanggung mereka sendiri.

Beliau justeru bersetuju dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin bahawa tidak berlaku kebuluran di universiti.

“Di Malaysia ini makanan lebih. Cuma yang berlaku mungkin pelajar daripada keluarga miskin, walaupun dapat pinjaman tetapi tak mencukupi kerana kos sara hidup tinggi.

“Ataupun ada yang hanya dapat yuran sahaja dan kos sara hidup tak dapat,” katanya.

Khairy yang juga ketua Pemuda Umno semalam meminta agar isu pelajar "kebuluran" tidak disensasikan dan dikaji dahulu kesahihannya.

Katanya, walaupun terdapat pelajar susah namun tidak ada kes sehingga berlaku kebuluran.

Beberapa pemimpin pelajar sebelum ini membangkitkan isu kesusahan pelajar berdepan kos sara hidup tinggi sehingga tidak cukup makan.

Laporan berkaitan kesusahan seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menahan lapar sehingga “usus terkoyak” dan “muntah darah” mendapat perhatian amat luas.


Tiada ulasan: