PUTRAJAYA,  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menggerakkan Ops Jejak GST 2016 bagi menjejak dan mendaftar mana-mana individu, syarikat dan perniagaan yang telah layak berdaftar sebagai orang berdaftar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetapi masih gagal berbuat demikian.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata operasi berkenaan akan bermula pada 17 hingga 22 Januari ini dan akan melibatkan 1,500 anggota JKDM yang mana ia akan dilaksanakan di seluruh negara dan dibahagikan mengikut zon tengah, utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak.

“Ops ini dilakukan selepas maklumat yang diperolehi melalui risikan dan aduan dari orang awam yang mendapati masih terdapat syarikat yang belum mendaftar walaupun dijangkakan layak untuk didaftarkan secara mandatori (mencapai pembekalan bercukai melebihi RM500,000) mengikut Seksyen 20 Akta GST 2014.

“Dengan pelaksanaan Ops ini, JKDM menyasarkan untuk mendaftar 100,000 registran baru bagi tempoh 2016 sebagai tambahan kepada 400,519 yang telah berdaftar sepanjang 2015,

“Ops ini bukanlah untuk menghukum atau mengambil tindakan ke atas mereka yang belum mendaftar tetapi juga untuk membantu dan menyelesaikan masalah yang dihadapi sehinggakan mereka sukar untuk mendaftar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Khazali, JKDM juga akan mengesan mana-mana individu berdaftar GST tetapi gagal mematuhi Seksyen 33 Akta GST 2014 berkenaan pengeluaran invois cukai yang menyebabkan amaun GST tidak dapat diakaunkan dengan sepatutnya.

Jelasnya, mana-mana orang berdaftar GST yang gagal mengeluarkan invois cukai atau mengeluarkan suatu invois cukai yang tidak mengandungi butir-butir yang ditetapkan telah melakukan kesalahan dibawah Akta GST 2014.

“Oleh itu mulai 15 Januari ini, mana-mana orang berdaftar GST dikesan oleh pegawai JKDM gagal mematuhi peruntukan di atas, kompaun serta-merta akan dikeluarkan terhadap mana-mana orang berdaftar yang melakukan kesalahan berkenaan.

“JKDM menasihatkan mana-mana orang dan syarikat yang telah mencapai perbekalan bercukai secara mandatori agar terus mendaftar dengan segera dan mematuhi perundangan yang telah ditetapkan untuk mengelak sebarang kesulitan di masa akan datang,” ujarnya.