Khamis, 28 Januari 2016

Nik Abduh minta maaf, mohon berkawan dengan media

 
Nik Abduh sebelum ini hanya menjawab sesuatu isu menerusi kenyataan dari Dewan Pemuda PAS atau melalui Facebook.


PAS


PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz membuat permohonan maaf kepada pihak media susulan tindakannya sebelum ini yang sering kali menjauhkan diri dari menjawab soalan berhubung isu semasa, terutamanya isu melibatkan parti itu.

Katanya sempena majlis Hi-tea rakan media anjuran Dewan Pemuda PAS yang diadakan hari ini, beliau mewakili seluruh Pemuda PAS menyuarakan keinginnya mereka untuk “berkawan dengan semua media di negara ini”.

“Saya harap hubungan kita terus berpanjangan, saya sebagai Ketua Pemuda kalau tuan-tuan ingat dulu saya memperkenalkan diri saya sebagai seorang lelaki yang pemalu.

“Saya minta maaf, mungkin pihak media rasa saya agak payah nak dihubungi, kecuali saya diperangkap dan biasa ramai yang perangkap saya di pintu Parlimen memang saya tidak boleh lari, tapi kalau isu besar sangat saya akan lari ikut belakanglah,”katanya berseloroh, dalam sesi soal jawab bersama media di majlis tersebut yang dihadiri lebih 20 agensi media di Restoran Puteri, Damansara.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan tindakannya mengelak daripada menjawab pertanyaan daripada media itu kerana beliau tidak mempunyai makklumat mendalam tentang isu yang ditanyakan.

“Kerana payah untuk jawab dan memerlukan orang yang layak kerana situasi politik hari ini yang agak berkecamuk saya kena memilih untuk tidak menjawab untuk mengelak panas yang tidak perlu dalam dunia politik,” katanya.

Ketika ditanya sama ada akan menjawab pertanyaan wartawan menerusi panggilan telefon, Nik Abduh hanya tersenyum sambil berkata akan menjawab setahun sekali, dalam dana gurau.

Nik Abduh sebelum ini hanya menjawab sesuatu isu menerusi kenyataan dari Dewan Pemuda PAS atau melalui Facebook.

Tiada ulasan: