Khamis, 7 Januari 2016

Negeri Sembilan tolak permohonan PBT naik cukai pintu

 
Keputusan dibuat selepas mengambil kira kos sara hidup tinggi dan kesusahan orang ramai, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Hassan.


hassan,negiri-9


PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan membenarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menaikkan kadar cukai pintu bagi tahun 2016.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohammad Hassan mengambil keputusan itu bagi mengurangkan beban rakyat yang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

“PBT telah mengemukakan cadangan untuk menaikkan cukai pintu pada tahun ini, memandangkan nilai hartanah yang meningkat berkali ganda seperti di Seremban, Jempol dan Nilai.

“Namun selepas mengambil kira kos sara hidup tinggi dan kesusahan orang ramai, kerajaan negeri buat keputusan untuk tidak membenarkan PBT menaikkan cukai pintu di kawasan masing-masing,” katanya dalam sidang media di Wisma Negeri, Seremban semalam.

Menurutnya, kadar cukai pintu di Negeri Sembilan kekal sejak lapan tahun yang lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai tempoh pengecualian bayaran permit kepada penjaja, beliau mengesahkan ia dilanjutkan sehingga penghujung 2017.

Keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 penjaja di negeri itu.

“Pengecualian bayaran permit kepada penjaja selama dua tahun telah berakhir hujung tahun lalu. Maka dalam mesyuarat Exco semalam kita putuskan untuk sambung selama dua tahun lagi, sehingga hujung 2017,” katanya.

Beliau juga telah mengarahkan PBT supaya tidak bersikap terlalu keras terhadap penjaja yang melanggar peraturan.

“Saya minta PBT agar lebih inklusif, janganlah halau dan rampas kerusi meja penjaja, runtuhkan gerai mereka.

“Tapi nasihatkan mereka dan kalau boleh, cari tempat yang sesuai untuk tempatkan mereka agar dapat berniaga dalam keadaan yang selesa,” katanya lagi.

Tiada ulasan: