Selasa, 5 Januari 2016

Nanti saya umumkan kerusi Amanah, kata Azmin Ali

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali


KAJANG - “Saya akan umumkan...,” itu jawapan ringkas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ketika ditanya pemberita sama ada Parti Amanah Negara (Amanah), akan diberi ruang dalam pembahagian pelantikan kerusi ahli majlis, di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Azmin sebelum itu berkata, adalah adil pihaknya memberi ruang kepada Amanah untuk bersama-sama menyumbang khidmat di peringkat PBT.

Beliau berkata, perbincangan juga berjalan dengan baik dan lancar di peringkat parti serta Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Tak habis-habis lagi ke isu ahli majlis ni...tiada masalah yang timbul, ketika mesyuarat baru-baru ini, cuma kita tetapkan tidak ada penangguhan, pada 16 Januari kita akan umumkan ahli majlis baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Bas Smart Selangor dan Aplikasi i-Kajang, di Kompleks Hentian Kajang, Jalan Reko, hari ini.

Ketika ditanya reaksi berhubung kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abd Samad yang menyatakan Pas tidak mahu memberi laluan kepada Amanah untuk kerusi ahli majlis PBT,  Mohamed Azmin menjawab itu hanya andaian pihak media.

“Tidak ada masalah, saya cukup gembira kerana proses perbincangan sebelum ini berjalan baik dan lancar. Sudah pastinya kita mengalu-alukan kehadiran sahabat baru kita Amanah dalam gerakan reformasi ini,” katanya.


Tiada ulasan: