Selasa, 5 Januari 2016

'Mungkinkah pangkalan tentera negara terdedah kepada China?’

MALAYSIAKINI


 


Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan sama ada tindakan 1MDB melepaskan ekuitinya dalam Bandar Malaysia kepada syarikat usaha sama daripada China Railway Engineering Corp dan Iskandar Waterfront Holdings akan mendedahkan pangkalan tentera negara kepada China.

Rafizi berkata, ini kerana di bawah perjanjian asal, Putrajaya menganugerahkan tanah berkenaan kepada 1MDB dengan syarat syarikat pelaburan negara itu memindahkan kemudahan Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi dan menaiktarafkan 6 pengkalan TUDM yang lain dan satu kem polis udara.

Rafizi menyoal sama ada China Railway Engineering Corp kini akan mengambil alih peranan itu selepas usaha samanya membeli 60 peratus kepentingan dalam Bandar Malaysia daripada 1MDB.

“Justeru, saya menyeru supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri memberi penjelasan kepada soalan-soalan di atas secepat mungkin.

“Ini kerana tidak ada mana-mana negara berdaulat yang wajar melibatkan syarikat yang dimiliki negara lain di dalam apa-apa keputusan yang membabitkan kelengkapan dan kemudahan ketenteraannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata pangkalan TUDM Sungai Besi adalah antara yang paling penting di negara ini.

Katanya, kem TUDM lain yang sepatutnya dinaikkan taraf mengikut perjanjian Bandar Malaysia itu adalah Kem TUDM Kuantan, Kem TUDM Gong Kedak, Kem TUDM Senawang, Kem TUDM Butterworth dan Kem Polis Udara Ipoh.

Minggu lalu, 1MDB mengumumkan bahawa China Railway Engineering Corp dan Iskandar Waterfront Holdings dalam satu usaha sama akan membeli 60 peratus kepentingan dalam 486 ekar Bandar Malaysia untuk RM7.41 bilion.

Walau bagaimanapun, persoalan dibangkitkan semalam selepas China Railway Engineering Corp memaklumkan kepada Bursa Saham Hong Kong bahawa nilai pembelian usaha sama itu sebenarnya adalah RM5.28 bilion iaitu RM2.13 bilion kurang daripada yang diumumkan.

Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy hari ini menjelaskan harga itu bukan muktamad kerana ia tertakluk kepada "sama ada liabiliti tertentu yang berkaitan dengan Malaysia Bandar boleh diserahkan kepada konsortium itu".

Tiada ulasan: