Jumaat, 22 Januari 2016

Mukhriz tampil beri penjelasan isu sebenar

Mukhriz Mahathir
Mukhriz (dua, kanan) bersama sebahagian pimpinan Umno Bahagian Jerlun selepas menghadiri himpunan menyokong kepimpinannya, semalam.
 
 
JERLUN – Tindakan 14 daripada 15 Umno Bahagian di Kedah yang menyatakan pendirian hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir jelas mengejutkan situasi politik negara, khususnya Umno di Kedah.

Berikutan itu, Mukhriz yang juga merupakan Pengerusi Umno Kedah mengambil pendekatan bertemu rakyat untuk beri penjelasan menerusi satu program khas di Wisma Umno Bahagian Jerlun, di sini, semalam.

Berikut ucapan Mukhriz semasa program tersebut:

Saya dikejutkan dengan 14 daripada 15 Umno Bahagian di Kedah tidak lagi yakin dengan keupayaan saya untuk mentadbir Umno Kedah dan Kerajaan Negeri Kedah. Tapi pada hari ini, sekurang-kurangnya saya lihat satu

Bahagian paling kuat bersama saya ialah Umno Bahagian Jerlun.

Pada waktu dan ketika ini, saya digelar sebagai Menteri Besar Kedah. Tetapi jawatan saya setinggi mana sekalipun, di peringkat negeri adalah hasil titik peluh rakyat. Atas sebab itulah setiap kali ada perkara-perkara seperti ini berlaku, mahu tidak mahu saya mesti pulang kepada akar umbi, bersama rakyat.

Yang kita lihat mungkin ada sedikit masalah dalaman parti. Masalah ini sepatutnya diselesaikan secara dalaman, tak perlu libatkan orang lain. Tapi malangnya dalam hal cadangan yang dikemukakan kelmarin untuk gugurkan saya sebagai pengerusi perhubungan dan menteri besar.

Sebagai pengerusi perhubungan mungkinlah yang itu dikira masalah dalaman Umno sahaja. Tetapi sebagai menteri besar, ini sebenarnya hak rakyat untuk menentukan.

Bukan untuk kita semena-mena buat pilihan sesuka hati. Memang saya akui selepas pilihan raya kalau suatu parti itu mendapat kerusi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri, parti itu yang diwakili oleh pemimpin tertinggi akan memilih seorang daripada Adun sebagai pemimpin negeri itu.

Bukan setakat memilih, mesti dibawa untuk mendapat perkenan Sultan negeri berkenaan. Sultan juga perlu diyakini bahawa orang yang dicalonkan itu mendapat mandat daripada rakyat. Maka ada pihak sebenarnya yang terlibat iaitu perdana menteri, Sultan dan tidak kurang pentingnya rakyat negeri itu sendiri.

Bayangkanlah kalau dicadangkan satu-satu nama itu tidak mendapat perkenan sultan seperti mana yang pernah berlaku di beberapa negeri sebelum ini, tidak jadi juga. Letaklah siapa pun, tapi kalau raja itu tidak perkenan orang yang dicalonkan itu, tidak lepas menjadi menteri besar.

Selain daripada itu, kalau di peringkat rakyat pun tidak berapa setuju itu pun akan menimbulkan masalah macam mana nak tadbir negeri, macam mana nak yakinkan rakyat sekiranya pemimpin peringkat tertinggi di negeri itu tidak diyakini dan tidak dapat sokongan padu daripada rakyat.

Saya  lihat bukanlah nak ‘masuk diri dalam bakul, angkat diri dalam bakul’. Kurang-kurang selepas PRU13, salah satu faktor kemenangan adalah apabila dua hari sebelum mengundi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah buat kenyataan BN menang, Mukhriz jadi menteri besar.

Saya dimaklumkan begitu ramai sekali, bukan setakat di Kedah tetapi pengundi-pengundi luar khusus di kalangan anak-anak muda yang berduyun-duyun balik ke negeri untuk mengundi kerana merasakan bahawa akhirnya angin perubahan yang mereka minta itu berlaku di Kedah.

Maka mereka pun nak pastikan BN menang dan mereka menikmati apa juga perancangan kerajaan baru BN di negeri Kedah yang kita sayangi. Dan itu pun yang kita lakukan dan dapat mandat yang sepenuhnya.

Dari segi pembangunan pun kita buat, tidak ada satu kawasan kita cuai. Dari segi sosial pun kita buat, pondok-pondok agama kita jaga, sukan kita utamakan. Mana mungkin kalau tidak kerana strategi yang dipasang dan dilaksana begitu baik, akhirnya Piala Perdana pun kita julang. Bukan setakat itu, Piala Malaysia pun Naib Juara dan dipilih sebagai pasukan bola sepak terbaik bagi 2015.

Kalaupun ada sedikit masalah, mungkin di peringkat atas tidak dapat diselesaikan. Kalaupun ada masalah, kita boleh duduk berbincang.

Saya selaku pengerusi perhubungan tentunya boleh bagi ruang kepada ketua-ketua Umno Bahagian.

Kerana itu pun tanggungjawab saya. Tapi saya pohon janganlah pula kerana ada hubungan yang begitu baik dengan pucuk kepimpinan di peringkat nasional, maka menidakkan hak saya sebagai ketua Umno di negeri ini.

Malah apa yang saya sebutkan itu saya anggap sebagai cerminan suara rakyat kerana saya dengar rintihan daripada merata. Duduk di kedai kopi pun orang bercakap benda yang sama, berjumpa dalam mesyuarat pun tanya soalan-soalan yang saya sendiri tak dapat jawab. Mahu tidak mahu saya kena tanya orang yang boleh jawab.

Itulah yang saya buat. Kalau itu dianggap salah maka selepas ini janganlah kita tegur sapa-sapa pun kalau nampak kesilapan berlaku. Kalau itu berlaku, memang bungkus (Umno) dalam PRU14. Jadi inilah masalah.

Antara lain, dalam sidang Dun dua kali lepas, kerana saya lihat tekanan ke atas rakyat sudah sampai tahap yang teruk, barang makanan kita pun semakin mahal, baju sekolah pun dah naik harga, susu pun harga naik, itu sebabnya saya terpaksa beranikan diri walaupun boleh dituduh ingkar atau tidak menyokong dasar kerajaan persekutuan.

Tapi saya buka cadangan, baru cadangan yang mungkin boleh dipertimbangkan supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikurangkan kepada tiga peratus. Takkanlah salah kalau saya kata macam itu.

Kerana ini adalah harapan rakyat yang rasa tertekan dengan kenaikan kos sara hidup. Apa yang diperlukan ialah penjelasan. Kalau tidak boleh, kenapa tidak boleh. Dan kalau kita boleh terima alasan yang diberikan tak apa, kita buatlah cara lain pula.

Jadi rupa-rupanya bila saya keluar kenyataan-kenyataan macam ini, timbul rasa tak puas hati. Menteri Besar ini tidak sehati sejiwa seperti yang diharapkan. Kemudian dikaitkan pula dengan anak bapa. Bapa dia macam itu, dia pun macam itu juga.

Mungkin saya silap, tapi rakyat boleh buat andaian yang bermacam-macam. Mungkin bukan kerana empat alasan yang diberi, tetapi sebenarnya kerana sebab-sebab itulah yang menyebabkan saya dituntut supaya berhenti sebagai pengerusi perhubungan dan menteri besar.

Yang saya nak nyatakan, selagi rakyat Kedah mahukan saya, selagi itulah saya akan berkhidmat untuk rakyat. Kalau nak tukar pun, tunggulah sat (sekejap). Buatlah cara elok-elok. Saya ini bukan susah sangat nak bincang-bincang pun.

Tapi kalau buat naya kat saya, terpaksalah kita bertindak. Buat naya ini bukan ke atas diri saya, tapi saya rasa rakyat negeri Kedah teraniaya. Tak ada salah apa pun, nak suruh tukar fasal masalah dalaman.

Mungkin ada orang ‘geli’ nak ambil alih jawatan saya. Saya pernah kata dulu, nampak jawatan menteri besar ini cukup bagus ada kereta besar, body guard, duduk di Seri Mentalon walaupun sebelum ni tidak ada yang duduk di situ sebab takut hantu.

Tiada ulasan: