Selasa, 12 Januari 2016

Melaka langgar syariat Islam – DMPM

Banyak lagi langkah boleh diambil untuk mempromosikan Melaka tanpa perlu mengeksploitasi fitrah maruah wanita


kintan-man


PETALING JAYA: Kerajaan negeri Melaka didakwa telah melanggar syariat Islam apabila menjemput seramai 52 ratu cantik dunia menyertai program gotong- royong membersih bandar Melaka di Jonker Walk pada Ahad lepas.

Dakwaan itu dibuat oleh Dewan Muslimat Pas Melaka (DMPM) apabila ketuanya, Kintan Man berkata, pihaknya memandang serius penganjuran program itu yang sepatutnya boleh diadakan mengikut syariat Islam tanpa mengeksploitasi fitrah maruah wanita.

“Tujuan kerajaan negeri menjemput ratu cantik itu kononnya untuk menarik pelancongan di Melaka, sedangkan banyak lagi program mengikut syariat Islam dan tidak ada unsur mengeksploitasi kaum wanita boleh diadakan.

“Kita amat kesal dengan tindakan ini yang sekali gus mengiktiraf pertandingan ratu cantik dunia,” katanya seperti di lapor laman portal Malaysia Gazette.

Menurut Kintan lagi, DMPM yang mendukung dasar Pas membantah sekeras-kerasnya penganjuran program itu kerana Islam mengangkat martabat maruah wanita.

“Banyak lagi usaha yang boleh diambil oleh kerajaan negeri untuk mempromosi Melaka seperti menaikkan taraf tempat pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong dan mempromosikan budaya gotong-royong dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Dengan ini PAS Melaka melalui DMPM menyatakan kesediaan dan kemampuan untuk mentadbir negeri Melaka sesuai dengan lunas Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PAS,” katanya.

Tiada ulasan: