Khamis, 28 Januari 2016

Medium.com enggan tarik balik artikel tentang Najib

MALAYSIAKINI


 


Blog penerbitan dalam talian Medium.com enggan tunduk dengan permintaan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk mengeluarkan satu artikel oleh laman web Sarawak Report.

Dalam kenyataan medianya, Medium.com berkata ia tidak akan berganjak untuk mengekalkan artikel itu meskipun suruhanjaya berkenaan menyekat akses ke laman web ini di Malaysia.

"Medium.com bukan dalam kedudukan untuk menilai kebenaran artikel oleh Sarawak Report.

“Kami tidak menerima sebarang bukti bahawa artikel itu melanggar mana-mana syarat atau undang-undang.

"Kami berpegang teguh dengan laporan oleh wartawan penyiasatan yang menerbitkannya di Medium.com.
“Sehingga kami menerima perintah daripada mahkamah yang mempunyai bidang kuasa berwibawa, artikel berkenaan akan terus kekal,” kata Medium.com.

Kenyataan itu adalah susulan permintaan yang dihantar melalui e-mail kepada SKMM pada Rabu, 20 Januari lalu

Menurut e-mel itu dengan sesalinannya disiarkan di portal Medium.com, SKMM meminta artikel Sarawak Report yang disiarkan dua hari sebelum itu yang bertajuk “Najib negotiates his exit but he wants safe passage and all the money! Exclusive disclosure.” (Najib runding jalan keluar tetapi mahu laluan selamat dan semua wang! Pendedahan eksklusif.)

Antara lain, artikel Sarawak Report itu mendakwa bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan 37 tuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana dan bahawa Najib telah memohon perlindungan di luar negara kerana takut akan didakwa.

Dalam e-melnya, SKMM berkata, artikel Sarawak Report itu adalah "palsu, tidak berasas, mengelirukan dan melanggar undang-undang Malaysia".

Tiada ulasan: