Rabu, 27 Januari 2016

Masih adakah RM42 juta dalam akaun Najib? – Khairuddin

 
Wang itu didakwa sebagai imbuhan kerana meluluskan pinjaman kerajaan sebanyak RM4 bilion kepada anak syarikat 1MDB, SRC International.


Khairuddin-Abu-Hassan

PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendesak Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjelaskan sama ada wang RM42 juta yang didakwa disalurkan SRC International kepada Perdana Menteri masih ada dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan membuat desakan itu berikutan kenyataan Apandi semalam yang membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan berhubung isu ‘derma’ RM2.6 bilion dan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International, anak syarikat 1MDB itu.

“Saya ingin tanya Apandi apakah RM42 juta itu masih ada dalam akaun peribadi Najib? Kalau sudah tiada siapa yang mengeluarkannya?” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mendesak Apandi menjelaskan siapakah yang memasukkan wang tersebut ke akaun peribadi Najib, dan sama ada Najib tahu akan tindakan itu.

“Kalau beliau tidak tahu wang tersebut daripada siapa, apakah beliau telah melaporkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat siapa yang memasukkan wang tersebut?,” soalnya.

Dalam sidang media semalam, Apandi mengumumkan yang beliau telah meneliti kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu ‘derma’ RM2.6 bilion dan RM42 juta SRC International dan mengarahkan kedua-dua kes tersebut ditutup.

1 ulasan:

77777 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.