Rabu, 6 Januari 2016

Mahkamah Khas tak mampu selesai pertikaian agama - peguam Syariah

Hafiz Yatim







Pembentukan Mahkamah Khas tidak akan menyelesaikan permasalahan yang membabitkan pertikaian agama, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang.

Beliau melahirkan kebimbangan bahawa kuorum mahkamah khas itu akan menjadi isu perbalahan jika terdapat panel tiga hakim dengan mengambil kira jumlah hakim beragama Islam dan bukan Islam mempengerusikan kes tertentu.

"Jika dua daripada hakim-hakim itu adalah orang Islam, ia boleh membawa kepada isu serupa yang timbul kerana mungkin ada seseorang yang tidak berpuas hati. Oleh itu, tidak ada penyelesaian," katanya kepada Malaysiakini.

Musa (kiri) berkata demikian ketika mengulas penghakiman kes K Pathmanathan lawan M Indira Gandhi, di mana hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer yang mencadangkan mahkamah khas ditubuhkan.

Presiden PGSM itu berkata, penyelesaian terbaik adalah membenarkan orang bukan Islam untuk mendapatkan keadilan di Mahkamah Syariah.

Katanya, PGSM sedang berusaha ke arah itu dan berkata apabila dilaksanakan, bukan Islam boleh memahami "kecantikan dan keadilan sistem" Islam itu.

"Pada masa ini, orang bukan Islam hanya boleh hadir di Mahkamah Syariah sebagai saksi untuk memberi keterangan dalam sesuatu kes, (amalan itu) dikenali sebagai 'bayyinah'.

“Tidak mustahil pada masa akan datang tidak lama lagi, orang bukan Islam boleh hadir dalam mahkamah (syariah) untuk mendapatkan keadilan.

"Bagaimanapun, perkara ini memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Tetapi ia tidak mustahil untuk dilaksanakan. Jika kita mahu kebaikan dan kemakmuran masyarakat, mengapa tidak buat perubahan itu," soalnya.

Menurut Musa, tidak ada keperluan bagi mahkamah khas dibentuk sekarang kerana ia hanya akan menyebabkan kos tambahan dan melibatkan perlantikan hakim dan kakitangan baru.

Tiada ulasan: