Khamis, 7 Januari 2016

M Daud Kilau maafkan individu sebar berita palsu

M Daud Kilau
M Daud Kilau
 

"SAYA tidak marah malah menerima dengan hati terbuka serta memaafkan mereka yang menyebarkan   berita palsu berkenaan.

Itu luahan raja gelek Malaysia Datuk Mohd Daud Kilau, 77, atau lebih dikenali sebagai M. Daud Kilau apabila berita palsu mengenai kematiannya tersebar luas di laman sosial hari ini.

Dia yang masih ditahan di wad Hospital Teluk Intan (HTI) sejak Ahad lalu akibat komplikasi membuang air kecil hanya ketawa apabila ditanya mengenai berita demikian.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan berharap panjang umur dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan petang tadi.

Pelantun lagu Gila Judi berkata dia berasa semakin sihat sekarang berbanding hari pertama di tahan di wad.

"Berita fitnah ini memberi saya lebih keyakinan untuk sembuh lebih cepat dan berjumpa dengan peminat dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, anak M. Daud Kilau, Ahmad Zaini menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu mengenai kematian bapanya di laman sosial.

"Kami sekeluarga sangat berdukacita kerana di saat ayah semakin sembuh muncul berita mengatakannya sudah tiada.

"Saya harap pihak berkenaan bertaubat dan hentikan menyebarkan berita sedemikian, sebaliknya meminta semua peminat ayah di negara ini mendoakan kesembuhannya," katanya.


Tiada ulasan: