Sabtu, 23 Januari 2016

Luahan pimpinan Umno Kedah berkisar pertimbangan sendiri

SINAR HARIAN


Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein


KLUANG - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin‎ Hussein berharap kemelut politik yang melanda Kedah ketika ini dapat diselesaikan dengan semangat kekeluargaan, bijaksana dan rasional demi kelangsungan parti dan rakyat.

Menteri Pertahanan itu berkata sekiranya diselesaikan secara matang, apa jua kemelut yang berlaku di dalam Umno Kedah sudah tentu tidak akan membawa kesan yang teruk kepada parti dan rakyat.

"Saya tengok bahawa luahan dan pendirian kepimpinan bahagian-bahagian (Umno) di Kedah banyak berkisar kepada pertimbangan mereka sendiri dan perkara itu juga sudah disampaikan kepada Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

"Sehubungan itu, saya harap isu ini ditangani secara matang, bijaksana bersandarkan perkara-perkara yang ada kaitan rapat dengan hala tuju Umno Kedah dan pentadbiran kerajaan Kedah itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Jiwa Murni Parlimen Sembrong di Felda Kahang Timur, di sini, hari ini.

Menurut Hishammuddin, krisis politik di Kedah bukan sesuatu perkara baharu di peringkat negeri-negeri malah parti juga pernah melalui pelbagai keadaan yang mencabar sebelum ini.

Semalam, kepimpinan Umno Kedah mengadakan pertemuan dengan Najib susulan desakan mereka sebelum ini yang mahukan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berundur.

Dua hari sebelum itu (20 Jan), hampir seluruh kepimpinan Umno Kedah termasuk 14 Ketua Umno Bahagian menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz selaku Menteri Besar dan Pengerusi Umno Kedah. - Bernama


Tiada ulasan: