Khamis, 7 Januari 2016

Lebih banyak program makanan untuk pelajar miskin

MALAYSIAKINI


 


Lebih bantuan awam mula mencurah berikutan kajian yang dijalankan sebuah NGO Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) mendapati iga daripada empat pelajar di universiti awam mengaku berada dalam situasi tidak mampu untuk membeli makanan.

Yayasan Darul Hijrah hari ini mengumumkan bahawa ia sedang bekerjasama dengan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya untuk membantu mahasiswa melalui inisiatif kupon makanan; Coupon For The Needs (CFTN).

“Inisiatif ini bermula pada hari ini (7 Jan 2016) di Universiti Malaya dan PMIUM serta Pak Ali Roti Canai akan menjadi penggerak utama kepada CFTN khusus buat mahasiswa yang memerlukan,” kata Yayasan Darul Hijrah melalui Facebook hari ini.

Menurut mereka, setiap kupon bernilai RM4.00 dan menu telah ditetapkan hasil persefahaman bersama peniaga.

Kupon boleh dibayar oleh rakan-rakan pelajar dan juga orang ramai.

Mereka yang berminat untuk membantu boleh menyalurkan wang ke akaun Maybank, Yayasan Darul Hijrah yang bernombor 5660 1060 9934 dan menghantar maklumat sumbangan itu kepada admin@yayasandh.com atau WhatsApp slip sumbangan ke 018-359 0403 untuk tujuan resit, rekod dan audit.

Program makanan seumpama itu dilaporkan telah pun dijalankan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Kaji selidik MVM terhadap 25,632 mahasiswa daripada enam buah universiti mendapati 57 peratus daripada mereka hanya memperuntukkan RM5 sehari untuk makanan, 44 peratus makan mee segera manakala 41 peratus hanya makan nasi dengan telur goreng dan sos.

Kajian ini juga mendapati 96 peratus daripada mereka berada di bawah tekanan ekonomi, manakala 97 peratus berkata mereka mahu menggunakan bantuan kewangan daripada MVM.

Kaji selidik itu dibuat selepas tersebar nota dari seorang pelajar di sebuah masjid di media sosial baru-baru ini.

Dalam nota tanpa nama yang ditujukan kepada sebuah jawatankuasa masjid, pelajar tersebut memohon maaf kerana "meminjam" beberapa ringgit daripada tabung masjid untuk membeli makanan, selepas beberapa hari tidak makan makanan berkhasiat.


Tiada ulasan: