Ahad, 3 Januari 2016

Lantik Haron Din jadi penasihat, Pas puji sikap Rayani Air

FREE MALAYSIA TODAY


Ia merupakan cadangan yang sangat wajar kerana garis panduan utama patuh syariah bagi penerbangan memerlukan pakar


Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man


PETALING JAYA: Pas memuji cadangan Rayani Air untuk melantik Mursyidul Am Pas Datuk Dr Haron Din sebagai penasihat kepada syarikat penerbangan berlandaskan syariah itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan yang dibuat syarikat berkenaan merupakan satu tindakan yang terbuka dan profesional dalam membuat pemilihan.

Katanya, pemilihanan Mursyidul Am Pas itu amat bersesuaian dengan ilmu yang dimiliki beliau.

“Cadangan melantik Mursyidul Am bagi kami satu sikap terbuka dan profesional syarikat. Ia dipilih berdasarkan kemampuan dan ilmu yang ada pada Dr Haron Din dan sebagaimana kita maklum beliau merupakan panel syariah kepada banyak pihak.

“Cadangan ini sangat wajar kerana sebagai sabuah syarikat baru, langkah meletakkan garis panduan utama patuh syariah bagi penerbangan memerlukan pakar yang dapat istinbat (membuat keputusan hukum syarak berdasarkan dalil) dari asas ilmu Islam,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, usaha Rayani Air harus disanjung semua pihak kerana meletakkan asas patuh syariah sebagai dasar utama syarikat penerbangan itu.

The Malaysian Insider dalam laporannya berkata, syarikat berkenaan berazam meluaskan pengaruh mereka sebagai syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang berlandaskan konsep patuh syariah bakal melantik Haron Din sebagai penasihat, kata pengarah urusan Rayani Air, Jaafar Zamhari

Katanya, jika veteran Pas itu bersetuju, beliau akan berperanan menasihati Rayani Air tentang bagaimana melaksanakan konsep patuh syariah yang sebetulnya mengikut lunas Islam.

Tiada ulasan: