Khamis, 28 Januari 2016

Krisis MB: PKR ajak Mukhriz keluar UMNO

 
UMNO sudah rosak dan Mukhriz perlu sertai parti lain sekiranya mahu mewujudkan kerajaan bersih.


mukhriz


SUNGAI PETANI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Kedah menyarankan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir keluar UMNO sekiranya mahu mewujudkan kerajaan bersih daripada rasuah.

ADUN PKR Kedah dalam kenyataan bersama berkata, Mukhriz perlu keluar daripada UMNO kerana parti berkenaan sudah rosak dan tidak boleh dibaiki lagi.

“Kepada Mukhriz dan mana-mana ADUN Barisan Nasional (BN) Kedah, jika anda benar-benar mahu kerajaan yang bersih rasuah, jika benar anda mahu perangi rasuah keluarlah daripada UMNO.
“UMNO kini hanyalah sekadar kenderaan buruk yang sudah rosak yang wajib dibuang.

“Mari lakukan perubahan bersama kami, jika tidak perjuangan anda hanyalah sia-sia seperti anjing menyalak bukit, mencurah air ke daun keladi dan mungkin akan disenarai barisan pemimpin UMNO yang merosakkan negara dan bangsa,” kata mereka pada sidang media di Bakar Arang, di sini, hari ini.

Kenyataan bersama dibuat oleh ADUN Lunas, Azman Nasruddin; ADUN Bukit Selambau, Dr Krishnamoorthy; ADUN Bakar Arang, Ooi Tze Min; dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling.

Semua ADUN PKR Kedah berharap krisis penukaran Menteri Besar negeri berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.

Sementara itu, ADUN PKR Kedah dalam kenyataan bersama, turut mendakwa Kerajaan Kedah sudah tidak wujud apabila mesyuarat EXCO negeri sudah tidak dapat dijalankan.

“Ini berikutan apabila enam EXCO negeri tidak hadir dalam mesyuarat semalam. Jadi, lebih baik Mukhriz buat sidang tergempar khas.

“Siapa layak jadi Menteri Besar terpulang kepada DUN. Pembangkang akan hadir dalam sidang tergempar itu,” kata mereka menerusi kenyataan itu.

Tiada ulasan: