Khamis, 7 Januari 2016

Kerusi PBT PAS bertambah walaupun PAN Selangor dapat lapan kerusi

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) diberikan lapan kerusi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa menjejaskan bahagian yang diperuntukkan kepada PAS, kata Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafie.
 
Malah, PAS mendapat penambahan kerusi PBT hasil rundingan parti itu dengan DAP serta PKR ketika mesyuarat exco yang dipengerusikan menteri besar, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali, pagi tadi.
 
Shuhaimi bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai berapakah jumlah kerusi PBT terkini yang dimiliki tiga parti berkenaan kecuali PAN yang mendapat lapan kerusi.
 
"PAS pun ada pertambahan kerusi sedikit. Jika tambah pun di antara dua hingga empat kerusi. Tidak begitu banyak perbezaan sebab kami lihat menstabilkan kerajaan itu lebih penting.
 
"Mereka (PAS) dah kurang satu kerusi exco, ok-lah. Ada ruang untuk kita meluahkan perasaan tidak puas hati, namun dalam masa sama kita kena terima kelebihan dan kekurangan.
 
"Walaupun mungkin sebelum ini PAS agak keras dengan tidak mahu beri kerusi, namun kena beri kredit kepada PAS sebab mereka juga ada melakukan tolak-ansur untuk kebaikan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pemberita di luar Pejabat Menteri Besar Selangor, tengah hari tadi.
 
Mengambil sikap bertolak-ansur, PKR dan DAP 'melepaskan' beberapa peruntukan kerusi ahli majlis pada penggal lalu kepada PAN bagi penggal ini, yang bermula pada 15 Januari 2016 dan tamat pada Disember 2017.
 
Pada penggal lalu, PKR diperuntukkan 120 kerusi diikuti DAP (92) dan PAS (67).
 
"PKR dari kerusi berkurang kepada sekitar 101 kerusi. Memang banyak, tetapi jika itulah proses yang kita jalankan, dan jika itu harga yang perlu bayar (maka) kita bayarlah. 
 
"DAP pun ada juga berikan beberapa kerusi. Jika ikutkan mereka mendapat satu per tiga daripada perjanjian terdahulu, namun mereka juga bersedia bertolak-ansur. Ada beberapa kerusi yang diberikan kepada parti lain," katanya lagi.
 
Sebelum ini PAN mengemukakan permohonan sebanyak 34 kerusi ahli majlis PBT Selangor dengan dua ahli majlis di setiap PBT.
 
PAS pula bertegas untuk tidak mahu memberi sebarang kerusinya kepada PAN.
 
 

Tiada ulasan: