Selasa, 26 Januari 2016

Kami tak mampu bayar peserta protes TPPA, kata NGO

Koh Jun Lin


 


Kumpulan sokongan pesakit HIV positif Malaysian Treatment Access & Advocacy Group (MTAAG+) berkata mereka tidak mampu membayar orang ramai untuk menyertai himpunan bagi membantah Perjanjian Trans Pasifik (TPPA) Sabtu lalu.

Pengarah kumpulan itu Edward Low berkata wang yang diberikan kepada peserta protes itu bahkan tidak dapat menampung kos hidup sehari di bandar.

Beliau menjelaskan bayaran itu adalah RM20 seorang, dan bukan RM30 sebagaimana yang dikatakan perunding Majlis Aids Malaysia Fifa Rahman, yang mempertahankan Low semalam.

"Kami tidak mampu untuk mengupah orang untuk datang ke protes itu. RM20 itu tiada apa untuk minta orang ramai keluar," kata Low kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, wang itu dibayar kepada kira-kira 100 anggota kumpulan itu, hampir semua daripada mereka adalah pesakit yang menghidap hepatitis C atau HIV positif.

Ia bertujuan membayar makanan mereka, air, dan pengangkutan selepas protes.

Low berkata jika bayaran itu merupakan rasuah atau bertujuan untuk "mengambil" mereka menghadiri protes itu, bayaran itu sepatutnya tidak dibuat secara terbuka.
Tambahnya, wang itu tidak diedarkan kepada semua yang hadir, tetapi sebaliknya kumpulan itu membuat rekod nama penerima, nombor kad pengenalan, dan tandatangan.
MTAAG + adalah antara pelbagai kumpulan yang membantah TPPA di Padang Merbok dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Kumpulan itu bimbang perjanjian mengenai harta intelek akan melambatkan pengenalan ubat-ubatan generik, dengan itu meningkatkan kos penjagaan kesihatan.

Sebuah rakaman video Low menyerahkan wang berkenaan diedar di internet sejak semalam, termasuk laman Facebook BN 'Friends Of BN'.




Tiada ulasan: