LARUT: Keputusan kajian mengenai penggunaan peranti dan perisa cecair
untuk rokok elektronik atau vape akan dibentang kepada kabinet akhir
bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata kajian itu antara lain bertujuan mengetahui sejauh mana
wap dari vape boleh menjejaskan kesihatan selain menentukan spesifikasi
yang perlu dipatuhi oleh pengeluar.
"Sekiranya mahu penggunaan vape kekal di negara ini, pengguna dan
penjual vape perlu memenuhi prosedur dan kriteria yang akan ditetapkan.
"Saya sedar banyak negeri telah mengeluarkan fatwa mengharamkan vape
kerana mereka merasakan vape itu sesuatu yang boleh menjadikan seseorang
individu mendapat penyakit tertentu," katanya dipetik Bernama.
Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut menarik perhatian apabila
berkata setakat ini belum ada kajian sama ada dari dalam atau luar
negara yang dapat membuktikan penggunaan vape boleh mendatangkan
keburukan.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata apabila peraturan mengenai penggunaan
vape diwujudkan kelak ia akan memudahkan pihak berkuasa mengambil
tindakan ke atas pihak yang menyalahgunakannya.
"Apabila ada undang-undang, maka mudah untuk kita ambil tindakan kerana
bila tidak ada undang-undang apa sahaja kesalahan yang dibuat kita
belum ada akta yang boleh ambil tindakan.
Sebagai contoh ada vape yang tidak ada nikotin apabila seseorang itu
menggunakan vape, saya difahamkan asap yang keluar bukanlah seperti
tembakau tetapi ia adalah wap. Ada beza antara wap dan asap yang boleh
merosakkan seseorang," katanya.
Baru-baru ini, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum penggunaan
rokok elektronik dan vape adalah haram dan keputusan itu dibuat setelah
membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan
dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan