Jumaat, 22 Januari 2016

Kabinet Najib perlu berhemah, bukan menekan rakyat

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man


SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menasihatkan Kabinetnya supaya bijak dan berhemah dalam membelanjakan peruntukan kerajaan sebelum memperkenalkan polisi baharu yang menekan hidup rakyat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah menyusun semula belanjawan negara mesti dilakukan dan bukannya membuat kejutan tentang penggantungan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kemunculan semula Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

“Rakyat sangat mengharapkan agar Perdana Menteri mengambil tindakan drastik mengurangkan kos sara kerajaan terlebih dahulu. Beliau mesti menunjukkan teladan dengan menghentikan sikap boros beliau dan keluarganya yang menjadi buah mulut rakyat.

“Penggantungan biasiswa JPA memberi bayangan bahawa pengubahsuaian bajet yang akan dibentang oleh Perdana Menteri pada 28 Januari nanti akan hanya menambahkan tekanan kepada kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dr M: Pengubahsuaian Bajet 2016 wajar]

Rabu lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah mengumumkan Najib yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari ini.

Mohd Irwan berkata, pengubahsuaian Bajet 2016 akan dibuat berdasarkan anggaran baharu purata harga minyak semasa susulan penurunan harga minyak mentah dunia mencecah AS$29 setong dan nilai mata wang tempatan yang semakin menjunam.

Tuan Ibrahim juga berkata, pengubahsuaian bajet itu perlu dimulakan dengan pemotongan peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri terlebih dahulu dan mengecilkan saiz kabinet mengikut keperluan, bukan tuntutan parti komponen BN.

“Perdana Menteri diseru untuk menamatkan jawatan penasihat khas bagi beliau yang bertaraf menteri, termasuk empat hingga lapan pegawai dan pembantu yang diperuntukkan kepada setiap satu,” ujarnya.

Beliau berkata, Najib juga perlu menyemak fungsi pentadbirannya yang bertindih antara kementerian dan agensi kerajaan.

“Terdapat enam agensi penguatkuasaan di atas jalan raya iaitu polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Puspakom, Alam Sekitar dan Majlis Perbandaran.

“Peranan Puspakom boleh diserahkan kepada JPJ  adalah antara contoh yang boleh diteliti kembali,” katanya lagi.


Tiada ulasan: