Selasa, 19 Januari 2016

Jangan nafi isu mahasiswa lapar – PKPIM

 
Ia bukanlah suatu isu yang kali pertama dibangkitkan mahasiswa sebaliknya, sudah menjadi perkara yang menghantui mereka 


hungry_studnt_ringgit_600


PETALING JAYA: Pihak pentadbiran di semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini diminta agar tidak menafikan isu bebanan kos sara hidup yang semakin menekan mahasiswa pada masa ini.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohammad Fazril Mohd Saleh berkata, perkara itu bukannya kali pertama diutarakan oleh golongan mahasiswa malah ia telah menjadi suatu perkara yang menghantui mereka.

“Sudah sampai masanya pentadbir universiti dan juga KPT (Kementeraian Pengajian Tinggi) sendiri hadapi isu sebenar.

Cukuplah berdolak-dalik daripada isu sebenar kerana `sindrom penafian’ yang ditunjukkan pentadbir universiti seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya lapor Sinar Harian Online.

Menurut Mohammad Fazril, kegawatan ekonomi serta pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan kerajaan pada masa ini memberi kesan secara langsung kepada golongan mahasiswa.

Katanya, dalam pada masa sama mahasiswa turut terbeban dengan kenaikan kadar yuran pengajian selain, jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang diturunkan.
“Sudahlah yuran naik, jumlah pinjaman PTPTN pula dipotong,” ujarnya.

Kata Mohammad Fazril lagi, isu bebanan hidup mahasiswa yang pernah dibangkitkan itu bagaimanapun, disambut dengan jawapan yang mengecewakan apabila pihak-pihak berkenaan secara terus menerus cuba mengelak.

Mohammad Fazril berkata demikian bagi merujuk kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Awam yang mempertikai hasil kajian Pertubuhan Kebajikan Muslim Malaysia (MVM) berhubung isu `mahasiswa lapar’ dan menganggap laporan itu sebagai keterlaluan serta mempunyai niat tersembunyi.

Tiada ulasan: