SHAH ALAM,  Sesi undi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dalam sidang Parlimen pada 26 Januari akan datang bagaikan ‘wayang kulit pentas bangsawan’.

Ahli Parlimen Pas-Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, barisan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak ada kebebasan dan sudah tentu akan setuju dengan undian tersebut.

“Hatta walaupun tidak diundi di Parlimen sekalipun, ia boleh ditandatangan. Oleh itu, ahli BN kena akur kepada Kedaulatan Negara.

“Jawapan yang diberikan kerajaan seolah-olah menunjukkan rakyat akur dengan keputusan mereka selepas diberi sedikit pemberian itu adalah tidak wajar,” katanya kepada The Rakyat Post ketika ditemui pada majlis Sidang Kemuncak TPPA 2016 di sini pada Sabtu.

Tambahnya, teks yang terkandung dalam perjanjian TPPA bukan mudah difahami kerana ia mempunyai 6,000 helaian.

“Rakyat cerdik pun tak faham isu kandungan TPPA apatah lagi rakyat biasa.

“Badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir hari ini (semalam) untuk membantah TPPA ini semuanya ada kepakaran masing-masing dan kajian mereka perlu dihormati.

“Jangan perbodohkan rakyat dengan wayang kulit,” katanya.


Semalam, sejumlah 250 badan bukan kerajaan (NGO) membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dalam majlis anjuran sebuah badan bukan kerajaan.

Pakar undang-undang, Chee Yoke Ling berkata kerajaan dinasihatkan agar tidak terlalu gopoh menandatangani perjanjian itu kerana implikasinya memerlukan negara mengubal undang-undang sedia ada bagi menyesuaikan diri dengan perjanjian tersebut di masa akan datang.


Bagaimanapun menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, bahawa kebimbangan dan kegusaran yang diluahkan oleh wakil daripada 250 NGO itu adalah tidak tepat.

Katanya, biarpun NGO terbabit sebulat suara menolak perjanjian tersebut, sebenarnya isu-isu yang dibangkitkan itu lebih kepada kebimbangan atau kegusaran yang tidak tepat.